KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menilai dan memberi keutamaan kepada projek-projek yang menjurus kepada keperluan mendesak rakyat di Kelantan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Sehubungan itu, beliau berkata bagi perancangan infrastruktur di negeri berkenaan, kerajaan mengutamakan projek kritikal yang memberi impak langsung atau berpaksikan rakyat.
“Pemilihan projek akan menumpukan usaha memperkasa ketersambungan infrastruktur pengangkutan dan penyediaan projek infrastruktur yang berimpak tinggi kepada sosial dan pertumbuhan ekonomi,” katanya di dalam Jawapan Lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN - Kuala Krai) mengenai penilaian Kerajaan Persekutuan dalam menentukan keutamaan projek-projek infrastruktur di Kelantan.
Ini termasuk kriteria yang digunakan dalam memilih projek yang perlu diberi perhatian segera, sesuai dengan dasar pembangunan berteraskan keperluan rakyat.
Menjelaskan selanjutnya, Rafizi berkata keutamaan terhadap projek-projek itu akan turut meningkatkan hubungan antara komuniti dan mewujudkan peluang pekerjaan yang luas.
Pada masa sama, ini mendorong pelaburan, merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi di sepanjang jajaran seterusnya dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kemakmuran rakyat, kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial