EKONOMI

Malaysia Seru Komuniti Perniagaaan Perancis Tingkatkan Kerjasama Demi Kemakmuran ASEAN

04/11/2024 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyeru komuniti perniagaan Perancis di negara ini  meningkatkan kerjasama berikutan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan untuk mewujudkan komuniti sejahtera, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

“Mari kita bekerjasama untuk membina hubungan lebih teguh antara Malaysia dan Perancis, bukan sahaja dalam perniagaan malah budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya pada majlis makan malam gala Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) di sini malam ini.

Beliau berkata Malaysia dan Perancis telah membina hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh sejak beberapa dekad lepas dengan sejumlah 600 syarikat Perancis di Malaysia.

"Pada tahun lepas, Perancis menjadi rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU), dengan jumlah perdagangan berjumlah RM16.72 bilion, menyumbang kira-kira lapan peratus bahagian daripada jumlah perdagangan kami dengan EU.

"Pelaburan Perancis ke Malaysia adalah pelbagai, daripada sektor elektrik dan elektronik, infrastruktur, aeronautik dan pertahanan, pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan," katanya.

Liew menekankan bahawa kerajaan mempunyai misi untuk menjadikan rakyat Malaysia dan rakyat ASEAN mempunyai pendapatan lebih besar dengan penduduk berjumlah 670 juta pada masa ini.

"Walaupun dunia kini bergantung kepada Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China untuk menggunakan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di peringkat global, kita perlu berani untuk membayangkan dunia dengan beberapa lagi pasaran pengguna iaitu ASEAN, Amerika Selatan dan Timur Tengah dan Afrika.

“Bagi mewujudkan pasaran ini, syarikat Perancis di Malaysia atau ASEAN perlu membayar gaji yang lebih baik kepada pekerja Malaysia dan di rantau ASEAN untuk membolehkan mereka berada dalam kelas pertengahan.

"Dengan cara ini, syarikat Perancis meraih manfaat dengan mewujudkan pasaran untuk produk mereka di luar AS, Eropah dan China," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan