SUKAN

Aksi Tertunda Perak, JDT Diubah Ke Stadium Sultan Ibrahim

05/11/2024 11:27 AM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Venue perlawanan tertunda Liga Super 2024/2025 antara Perak FC dan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung Ahad ini, kini ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Perak telah diminta untuk menamakan venue alternatif, berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.

Permintaan daripada MFL itu juga disebabkan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin akan merencatkan lagi jadual liga musim ini.

“Sebagai maklum balas kepada permintaan MFL itu, Perak FC telah menamakan SSI (Stadium Sultan Ibrahim) sebagai gelanggang mereka untuk perlawanan tertunda tersebut.

“Sebelum ini dua pertemuan Perak FC dengan JDT masing-masing pada 17 Ogos dan 5 Okt 2024 terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dan keputusan yang dibuat kali ini adalah untuk memastikan undian Piala Malaysia 2024/2025 pada 11 Nov 2024 dapat berjalan seperti yang dirancang,” menurut kenyataan itu.

JDT bimbingan Hector Bidoglio kini selesa di persada liga dengan mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan, meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC di tangga kedua dengan perbezaan lapan mata sementara Perak di kedudukan ketujuh selepas mengutip 17 mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan