JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kelantan Bakal Guna Dron Canggih Kekang Jenayah Rentas Sempadan

05/11/2024 11:28 AM

KOTA BHARU, 5 Nov (Bernama) -- Polis Kelantan akan menggunakan dron berteknologi canggih bagi membantu menangani masalah jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya sedang mendapatkan kerjasama daripada Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman berhubung perkara ini.

Beliau berkata kegunaan dron berteknologi canggih ini dapat menangani masalah penyeludupan termasuk dadah, barang kawalan dan barang-barang tidak sah yang keluar masuk dari Kelantan.

“Kegunaan dron berteknologi canggih itu akan dapat mengatasi jenayah rentas sempadan dari Sungai Golok hingga ke Pengkalan Kubor dalam jarak kira-kira 100 kilometer (km) dengan 27 pos statik.

"Apabila ada penyeludupan, dron canggih ini boleh mengesan lebih 50km di laut dan tidak perlu pergi dekat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan di sini.

Beliau berkata kegunaan dron canggih itu juga boleh digunakan semasa menghadapi Monsun Timur Laut, malah pihaknya sudah mengadakan kerjasama dengan negara jiran iaitu Thailand dan Laos. 

Sementara itu, bagi mengatasi masalah jenayah rentas sempadan, beliau turut mencadangkan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud agar membina tembok di sepanjang tebing Sungai Golok, Thailand.

"Pembinaan tembok ini ada dua kegunaan iaitu dapat menghalang kes berkaitan jenayah rentas sempadan, malah ia juga boleh mencegah banjir di Sungai Golok," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan