EKONOMI

Kenaikan Tarif Sarung Tangan Perubatan China Di AS Buka Peluang Kepada Pemain Industri Tempatan - KPK

05/11/2024 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melihat kenaikan tarif sarung tangan perubatan dari China di Amerika Syarikat (AS) sebagai peluang kepada industri sarung tangan getah negara untuk meningkatkan kembali bahagian pasaran di AS.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata pada masa ini bahagian pasaran sarung tangan getah Malaysia di AS adalah sebanyak 44 peratus berbanding purata 55 peratus (2020 hingga 2023).

“Kementerian memandang positif akan kenaikan tarif sarung tangan perubatan dari China oleh AS, di mana kenaikan tarif ini akan menyebabkan harga sarung tangan dari China meningkat di pasaran AS dan pada masa yang sama menjadikan sarung tangan dari Malaysia lebih berdaya saing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Kamal bin Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai rancangan kerajaan terhadap perubahan struktur permintaan sarung tangan nitril global untuk Malaysia mengambil kira kenaikan tarif sarung tangan perubatan dari China oleh AS dengan tarif sebanyak 50 peratus pada 2025 dan 100 peratus pada 2026.

Chan berkata kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan menggiatkan lagi usaha untuk mempromosikan sarung tangan getah menerusi penyertaan di pameran perdagangan utama di AS seperti Florida International Medical Expo (FIME) dan International Restaurant & Food Service Show di New York.

“Kerajaan juga akan mengambil peluang ini untuk mempromosikan sarung tangan berasaskan getah asli.

“Selain itu, LGM juga menyediakan geran di bawah Dana Automasi dan Teknologi Hijau bagi menyokong modenisasi pengeluaran sarung tangan getah oleh pemain industri,” katanya.

Sementara itu beliau berkata berikutan isu perdagangan yang disebabkan oleh persaingan geopolitik dunia kementeriannya akan terus menumpukan usaha untuk meluaskan peluang eksport getah negara ke pasaran baharu seperti negara-negara di Amerika Selatan, Timur Tengah dan Afrika. 

Menurutnya, KPK dengan kerjasama pemain industri sarung tangan getah tempatan juga sedang membangunkan “Malaysian Made Glove Initiative” (Inisiatif Sarung Tangan Buatan Malaysia) yang mengutamakan getah asli mampan.

“Pelaksanaan agenda nasional Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) akan menjadikan getah dan produk getah negara lebih berdaya saing.

“Ini akan menjadikan permintaan sarung tangan Malaysia yang diperbuat daripada bahan boleh diperbaharui iaitu getah asli juga akan meningkat sejajar dengan sentimen pasaran global yang mementingkan ciri-ciri hijau dan kemampanan dalam penghasilan produk,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan