AM

FLYsiswa Dijadikan Inisiatif Tahunan Kementerian Pengangkutan - Loke

05/11/2024 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Inisiatif FLYsiswa, yang menawarkan subsidi tiket penerbangan kepada pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan, kini akan dijadikan inisiatif tahunan oleh Kementerian Pengangkutan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Sept lepas, yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk mengukuhkan integrasi wilayah antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan serta memupuk perpaduan nasional selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia.

“Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman, khususnya bagi mereka yang tiada pilihan pengangkutan lain selain penerbangan.

"Bagi tahun 2025, subsidi tiket penerbangan, termasuk inisiatif FLYsiswa dan subsidi tiket untuk musim perayaan, telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM48 juta," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang ingin tahu sama ada Kementerian Pengangkutan bercadang untuk menjadikan inisiatif FLYsiswa sebagai usaha tahunan dan berterusan, berbanding sekadar inisiatif 'one-off' atau 'pengumuman'.

Subsidi ini dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell, di mana syarikat penerbangan tempatan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak. Baucar tersebut boleh ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Anthony Loke, seramai 52,030 mahasiswa layak menerima manfaat subsidi ini pada tahun ini, yang merangkumi 22,226 pelajar atau 42.7 peratus berasal dari Sabah dan 19,171 pelajar atau 36.8 peratus berasal dari Sarawak.

“Dalam kalangan mahasiswa asal Sabah, seramai 17,388 sedang melanjutkan pengajian di universiti awam, politeknik, kolej komuniti, matrikulasi, dan institut pendidikan guru (IPG) di Semenanjung Malaysia; 3,433 di Sarawak; dan 1,405 di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagi mahasiswa yang berasal dari Sarawak, seramai 16,027 sedang belajar di Semenanjung 2,716 di Sabah, dan 428 di Wilayah Persekutuan Labuan. Sehingga 4 Nov 2024, sebanyak 35,183 daripada 52,030 mahasiswa yang layak, atau 68 peratus, telah menebus baucar FLYsiswa,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkenaan cadangan menggunakan pesawat berkapasiti besar untuk penerbangan ke Sabah dan Sarawak, beliau berkata keputusan tersebut bergantung kepada syarikat penerbangan. Kementerian tidak mempunyai sebarang halangan terhadap apa jua pilihan pesawat oleh pihak syarikat penerbangan.

“Memang terdapat pengurangan jumlah penerbangan ke Sabah dan Sarawak buat masa ini, namun ia hanya bersifat sementara bagi membolehkan pihak syarikat menyelesaikan isu-isu penyelenggaraan.”

“Saya yakin menjelang bulan Disember, penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sabah serta Sarawak akan kembali seperti sediakala bagi meningkatkan kapasiti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan