AM

6,742 Graduan Bakal Terima Ijazah Pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-37

05/11/2024 09:12 PM

ALOR SETAR, 5 Nov (Bernama) -- Sebanyak 6,742 graduan bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-37 di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok bermula 10 hingga 14 Nov ini.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Tuanku Canselor UUM berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah kepada graduan terlibat.

“Daripada jumlah itu sebanyak 5,539 adalah graduan sarjana muda dan 1,126 graduan pascasiswazah yang terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana manakala selebihnya 77 graduan Diploma Eksekutif.

“Sebanyak 6,330 merupakan graduan tempatan dan 412 lagi graduan antarabangsa dari 24 negara antaranya Indonesia (151), China (55), Somalia (31), Arab Saudi (29) dan Palestin (6),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Anugerah Pelajaran DiRaja dikurniakan kepada Muhammad Shuib Rosli, 23, graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan Dengan Kepujian) dan Emina Kulasic Bong Ei Min, 24, (Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa Dengan Kepujian) manakala Pingat Emas Canselor kepada Nur Eina Athirah Norazman, 23 (Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Dengan kepujian).

Mohd Foad berkata penerima Anugerah Pelajaran DiRaja akan memperoleh wang tunai RM7,500 berserta sijil manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima RM4,000 berserta sijil. Selain itu, daripada 5,539 graduan sarjana muda, seramai 1,681 merupakan graduan ijazah kelas pertama.

“UUM juga meraikan 30 graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf) Dengan Kepujian seramai 21 orang, Sarjana Muda Sains (Penyelidikan Operasi dan Analitik) (8) dan Doktor Pendidikan (1),” katanya.

Dalam sidang media yang sama, Mohd Foad berkata UUM telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji keperluan penubuhan Fakulti Kejuruteraan seperti dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lepas.

Beliau berkata universiti itu menerima baik cadangan berkenaan dan ia sedang diteliti dari pelbagai sudut.

“Dalam konteks ini kita menubuhkan jawatankuasa khusus, pasukan petugas untuk melihat bagaimana  UUM boleh memainkan peranan dalam menawarkan program berkaitan teknikal dalam usaha memenuhi tenaga kerja dalam kalangan siswazah khususnya di wilayah utara,” katanya. 

Bersempena Majlis Konvokesyen tersebut, UUM turut menganjurkaan Pesta Konvokesyen atau PESKON37 bertemakan “Alumni Gemilang” bermula 8 hingga 16 Nov.

Ia turut akan dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan seperti Wany Hasrita, Insomniacks, Ismail Izzani, SonaOne, Aiman Tino dan Faizal Tahir.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan