EKONOMI

Untung Bersih F&N Melonjak Kepada RM542.77 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

05/11/2024 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) meningkat kepada RM542.77 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2024 daripada RM536.90 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan syarikat pula meningkat kepada RM5.25 bilion daripada RM5.0 bilion sebelumnya,  didorong oleh jualan domestik yang lebih tinggi daripada operasi makanan dan minuman (F&B) di Malaysia serta Thailand selain eksport ke Kemboja.

Menerusi jualan domestik, kata syarikat itu, produk minuman, air dan produk tenusu dicatatkan menjadi pemacu kepada prestasi utama syarikat.

F&N berkata pendapatan F&B Malaysia bagi tahun semasa meningkat 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM2.95 bilion, didorong oleh permintaan yang kukuh semasa musim perayaan, disokong oleh penembusan pasaran yang berjaya selain kempen penjanaan permintaan,  walaupun ia sebahagiannya terjejas oleh pengurangan eksport.

Sementara itu, F&B Thailand merekodkan pendapatan sebanyak RM2.29 bilion bagi tahun kewangan 2024, mencerminkan pertumbuhan 6.7 peratus tahun ke tahun, didorong oleh jualan yang lebih kukuh ke Kemboja, susulan kejayaan promosi di seluruh negara dan impak penuh jualan Bear Brand sepanjang tahun.

"Jualan domestik sebahagiannya terjejas oleh bekalan susu segar yang terhad dan inisiatif perlindungan margin untuk produk tertentu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi prestasi F&N pada suku keempat, syarikat itu melaporkan untung bersihnya susut kepada RM84.99 juta berbanding RM137.56 juta pada tahun lepas manakala pendapatannya meningkat kepada RM1.26 bilion berbanding RM1.24 bilion sebelumnya.

"Pertumbuhan ini dipacu oleh jualan domestik yang lebih tinggi di F&B Malaysia dan F&B Thailand, walaupun menghadapi cabaran luar seperti ketegangan geopolitik yang memberi kesan kepada perdagangan dan logistik global, serta penukaran mata wang baht/ringgit yang tidak menguntungkan," katanya.

Susulan keputusan yang menggalakkan, lembaga pengarah syarikat mencadangkan dividen akhir bertingkat tunggal sebanyak 33 sen setiap saham; jumlah pembayaran yang dianggarkan sekitar RM121.0 juta, yang dijadualkan dibayar pada 10 Feb, 2025.

Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan F&N yang akan datang, jumlah dividen untuk tahun ini akan berjumlah 63 sen setiap saham, menjadikan jumlah pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2024 adalah sebanyak RM231.1 juta, katanya.

Bercakap mengenai prospek kumpulan bagi tahun kewangan 2025, Ketua Pegawai Eksekutif F&N Lim Yew Hoe menekankan kewaspadaan dan kebolehsuaian berterusan syarikat dalam menghadapi landskap global yang tidak menentu.

"Pada awal tahun ini, kami menekankan pendekatan berwaspada kami yang memasuki separuh kedua tahun ini dan kami terus kekal berwaspada serta boleh menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran serta pergerakan geopolitik dan makroekonomi yang lebih luas.

"Sememangnya, sepanjang beberapa tahun lalu, kami secara sistematik membina kecekapan untuk penciptaan nilai dalam operasi kami.

"Ini membolehkan kami untuk membuat tindak balas strategik dan taktikal dengan tepat pada masanya, sama ada untuk mengurangkan risiko atau memanfaatkan peluang," kata Lim.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan