DUNIA

Bernama, China Media Group Bertukar MOU Untuk Perkukuh Kerjasama Media

05/11/2024 08:33 PM

SHANGHAI, 5 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan China Media Group (CMG) bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) pada Selasa, menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuhkan kerjasama media antara Malaysia dan China.

Majlis pertukaran MoU itu diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, dari 4 hingga 7 Nov atas jemputan Perdana Menteri China, Li Qiang.

Bernama diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin dan CMG pula oleh Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing. Kedua-dua mereka bertukar dokumen MoU itu dalam satu majlis yang disaksikan oleh Anwar dan Li Qiang selepas perbincangan dua hala antara kedua-dua pemimpin itu.

Nur-ul Afida berkata bahawa MoU itu merupakan pencapaian penting bagi BERNAMA dalam usaha meluaskan jangkauan serantau dan globalnya, khususnya apabila Malaysia bakal mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025.

Bernama berada dalam kedudukan yang baik untuk memperluaskan liputannya mengenai aktiviti ASEAN sepanjang tahun, sekaligus memberikan akses kepada CMG untuk kandungan berkaitan ASEAN. 

“MoU ini menawarkan peluang untuk pertukaran kandungan dan latihan media, memperkukuh peranan kedua-dua agensi dalam menyebarkan berita dan maklumat budaya,” katanya sambil menambah bahawa pertukaran media adalah asas penting dalam mempromosikan hubungan Malaysia-China.

Bernama menjangkakan untuk mendapat manfaat daripada sumber dan kepakaran CMG dalam teknologi media, khususnya dalam bidang digital.

“Kerjasama ini selari dengan visi BERNAMA untuk memanfaatkan inovasi digital, memperkukuhkan peranannya sebagai penyedia berita dan kandungan media utama di Malaysia,” tambahnya.

Di samping itu, MoU ini mempunyai makna tambahan kerana ia seiring dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, melambangkan kerjasama yang semakin mendalam.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri Anwar dan Perdana Menteri Li Qiang turut menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dan China yang berkaitan dengan Inisiatif Jalur dan Laluan, yang menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara yang terus berkembang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan