EKONOMI

Kerajaan Manfaat Kekuatan Sabah, Tarik Pelabur Industri Pembuatan Berteknologi Tinggi

06/11/2024 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan memanfaatkan kekuatan dan keupayaan tempatan di Sabah untuk menarik pelabur dalam sektor industri pembuatan berteknologi tinggi yang berfokuskan kepada aktiviti pembuatan hiliran, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Menurutnya langkah berkenaan adalah di bawah Misi 4 Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030: Menyelaraskan Pelan Pembangunan Perindustrian Antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Dalam hal ini, beberapa aktiviti industri hiliran yang berpotensi telah dikenal pasti, khususnya di kawasan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu termasuk sektor hiliran sawit, biojisim dan petrokimia, katanya.

“POIC Lahad Datu mempunyai potensi untuk menjadi hab industri hiliran bagi pengeluaran produk berasaskan sawit seperti oleokimia, nutraseutikal, plastik dan biofuel kosmetik.

“Selain itu, pengeluaran produk berasaskan biojisim seperti biokimia, biobahan api, bioplastik, tenaga elektrik, bahan bakar, kertas, pulpa dan fiber turut berpotensi untuk dikembangkan,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang ingin tahu mengenai rangka strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menarik pelabur ke Sabah dalam sektor industri pembuatan berteknologi tinggi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan TVET Sabah bagi memperkukuh pembangunan dan ekonomi.

Menurut Liew ketersediaan kemudahan pelabuhan bersepadu di POIC Lahad Datu seperti terminal cecair, kering dan kontena dapat memudahkan pengendalian pelbagai jenis kargo dalam sektor industri petrokimia seperti kilang penapis minyak, kemudahan pemukal dan pengedaran produk petrokimia.

Aktiviti lain yang dikenal pasti adalah berkaitan pelabuhan dan logistik, dengan POIC Lahad Datu berpotensi menjadi hab logistik dan pemunggahan berdasarkan pelbagai kemudahan yang disediakan, katanya.

Dalam industri halal pula, beliau berkata POIC Lahad Datu juga telah diiktiraf sebagai taman perindustrian pertama berstatus HALMAS di Sabah dan sedia untuk menerima industri yang berasaskan halal seperti makanan, farmasi dan kosmetik.

“Kedudukannya juga berdekatan dengan pelabuhan kontena memudahkan aktiviti pengimportan dan pengeksportan untuk dijalankan,” katanya.

Menurut Liew, NIMP 2030 juga memberi penekanan terhadap aspek pembangunan kemahiran dan penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, dengan sasaran untuk mencapai 3.3 juta pekerja dalam sektor pembuatan.

“Beberapa langkah sedang diambil oleh kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan TVET di Sabah, termasuk membantu pembangunan bakat dalam bidang solar bagi menyokong industri solar di Sabah seperti SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd,” katanya.

Menurutnya Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu telah membantu mengadakan temu duga dalaman bagi memadankan tenaga kerja mahir untuk menawarkan peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian berkaitan.

“ILP Kota Kinabalu juga telah dipilih sebagai pusat pembangunan bakat dalam teknologi solar manakala ILP Sandakan pula menumpukan kepada penyediaan bakat untuk industri kenderaan elektrik dan hidrogen,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan