AM

Fahmi Akhiri Lawatan Produktif Ke Turkiye, Galak Pertumbuhan Digital Dan Keselamatan Siber Di OIC

06/11/2024 01:58 PM

Daripada Kisho Kumari

ISTANBUL, 6 Nov (Bernama) -- Lawatan rasmi pertama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ke Türkiye berakhir dengan impak positif dan berpandangan ke hadapan, menekankan kepada memacu transformasi digital dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dalam lawatan beliau, yang termasuk beberapa pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan wakil dari pelbagai negara OIC, Fahmi mengetengahkan isu-isu utama yang dibangkitkan dalam perbincangan, terutamanya mengenai keselamatan siber dan usaha untuk meningkatkan hubungan perdagangan dalam rangkaian negara-negara tersebut.

Beliau menegaskan bahawa 17 daripada 57 negara anggota masih diklasifikasikan sebagai negara kurang maju, menekankan keperluan kepada usaha bersepadu untuk merapatkan jurang pembangunan dan mewujudkan lebih banyak peluang yang saksama untuk kemajuan OIC.

“Ini satu cabaran yang besar tetapi dalam siri pertemuan saya dengan beberapa menteri termasuk dari Turkiye dan Palestin serta beberapa perbincangan lain menunjukkan kita boleh meneliti hubungan antara negara-negara tersebut. 

“Apa yang boleh kita lakukan ialah bukan hanya merapatkan hubungan tetapi saling bertukar kepakaran dan meningkatkan perdagangan antara negara,” katanya kepada Bernama selepas majlis penutup Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) OIC.

Fahmi yang dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Turkiye menghadiri COMCEC OIC yang diadakan di Pusat Kongres Lütfi Kirdar di Istanbul antara 2 dan 5 Nov 2024. 

Matlamat utama COMCEC ialah menangani cabaran ekonomi umat Islam dan menyumbang kepada usaha pembangunan negara-negara anggota.

Fahmi turut menyampaikan kenyataan sebagai wakil Kumpulan Asia negara-negara anggota OIC di COMCEC, selain Qatar dan Gambia.

Kunjungan ini merupakan kali pertama dalam tempoh 40 tahun seorang menteri Malaysia ke COMCEC, kali terakhir dihadiri Tengku Razaleigh Hamzah pada 1984.

Beliau berkata negara-negara anggota OIC perlu mengutamakan perkongsian amalan terbaik dan menggalakkan kerjasama kukuh antara negara-negara Islam untuk membangunkan ekosistem kewangan yang moden, cekap dan inklusif, serta menghapuskan kaedah tradisional yang lapuk.

Selain itu, beliau menyertai sesi pertukaran pandangan mengenai Transformasi Digital Sistem Pembayaran sesama negara anggota OIC pada Isnin.

Fahmi turut menekankan usaha bersepadu dan perkongsian pembelajaran dalam kalangan negara anggota OIC yang penting untuk memacu gelombang transformasi digital seterusnya.

Dalam lawatan itu, Fahmi mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek dan Menteri Negara Emiriah Arab Bersatu Ahmed Ali Al Sayegh mengenai kemungkinan kerjasama dan pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi digital.

Beliau juga bertemu Menteri Ekonomi Negara Palestin Mohammad al-Amour pada Selasa untuk membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dan Palestin dalam pelbagai bidang serta Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-Negara Islam (SESRIC) Zehra Zumrut Selcuk.

Fahmi, yang tiba di Istanbul pada 3 November bagi lawatan kerja sehingga 5 November, turut mengambil peluang bertemu pelajar dan diaspora Malaysia di negara tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan