EKONOMI

KPK Bincang Dengan RISDA Laksana Program Inisiatif Konsolidasi Pekebun Kecil

06/11/2024 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi, menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), sedang berbincang dengan beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk perlaksanaan Program Inisiatif Konsolidasi Pekebun Kecil.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata selain RISDA, perbincangan turut berjalan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta persatuan-persatuan pekebun-pekebun getah kecil di Malaysia.

Perbincangan tersebut adalah untuk mengenalpasti pemilik-pemilik ladang yang sudah tidak mahu atau tidak mampu mengusahakan tanaman getah mereka, supaya boleh diambil alih dan diusahakan oleh kerajaan melalui sistem pajakan.

“Apa yang sedang kita rancang sekarang adalah LGM mahu berbincang dengan RISDA supaya RISDA menjadi agensi penggerak kepada konsolidasi, mewujudkan sebuah syarikat pengurusan dan berjumpa dengan kesemua pekebun kecil yang sudah tidak mahu menoreh.

“Kita akan berbincang untuk mengambil tanah-tanah pekebun-pekebun kecil ini, mungkin dengan cara pajakan, kemudian kita akan menggaji penoreh-penoreh dengan gaji tetap bagi mengusahakan ladang tersebut serta membahagikan hasil keuntungan dengan pemilik ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat hari ini. 

Perancangan dalam mewujudakn satu sistem konsolidasi untuk pekebun-pekebun getah kecil yang sudah tidak lagi mengusahakan ladang mereka dapat ditadbir melalui kerjasama antara LGM dan RISDA, yang mana LGM akan memberi sokongan kepada RISDA bagi mengendalikan sistem berskala besar ini.

“Dahulu kita pengeluar getah nombor satu dunia, tetapi pada hari ini kita mengimport hampir 1.1 juta tan (getah) setahun, dan nilainya lebih kurang RM6 billion. Sedangkan kita ada ladang getah seluas 1.1 juta hektar, yang mana 420,000 hektar tidak bertoreh.

“Duit keluar, beli getah daripada Thailand, Vietnam dan Ivory Coast dan kita bawa masuk. Sepatutnya RM6 billion ini (nilai import) diberi kepada pekebun kecil, tetapi kebanyakkan pekebun kecil ini sudah tua dan tidak berdaya untuk keluar menoreh, di tambah pula denga saiz tanah yang kecil,” katanya.

Melalui program ini, beliau berkata kerajaan mungkin boleh menurunkan import getah daripada RM6 billion, kepada RM2 bilion di masa akan datang.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan