AM

LZS Lancar Zakat Aulad Club, Pupuk Kesedaran, Kepentingan Zakat Kepada Generasi Muda

07/11/2024 02:42 PM

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor hari ini ini melancarkan Zakat Aulad Club (ZAC) sebagai inisiatif memupuk kesedaran serta kepentingan zakat dalam kalangan generasi muda.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata program dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu diperkenal sebagai kesinambungan kepada Modul Pendidikan Zakat Selangor (MPZS) yang diperkenalkan di seluruh sekolah agama naungan JAIS pada Ogos 2022.

Beliau berkata sebagai permulaan, ZAC akan diperkenalkan di 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) di Selangor sebelum diperluaskan pelaksanaannya secara rasmi di sekolah-sekolah bawah JAIS bermula tahun hadapan.

“Pada awal perancangan MPZS, kita telah menyatakan bahawa salah satu daripada aktiviti yang dicadangkan adalah dengan mewujudkan sebuah kelab zakat sebagai platform untuk anak-anak memahami, menerima dan membudayakan amalan berzakat dalam kehidupan.

Atas dasar itulah, LZS dan JAIS bersungguh-sungguh cuba merealisasikan kewujudan ZAC agar ia dapat memperkasakan lagi pendidikan zakat di sekolah-sekolah naungan JAIS dengan pendekatan yang santai dan ceria,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ZAC di sini.

Terdahulu, pelancaran ZAC turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAIS Salwana Ahmad Dahlan serta Ketua Pegawai Operasi LZS Ahmad Fadhil Hassan dan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 100 pelajar dan guru SRAI di Selangor.

Mohd Sabirin berkata ZAC berperanan sebagai platform pendidikan yang mendalami aspek asas zakat termasuk syarat, keperluan dan peranannya dalam menyokong asnaf, serta membentuk kefahaman generasi muda mengenai nilai kemasyarakatan Islam dan proses pengagihan zakat dalam membina masyarakat seimbang.

Beliau berkata inisiatif membudayakan zakat melalui pendidikan merupakan antara strategi jangka panjang LZS bagi melahirkan generasi celik zakat dengan memupuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar yang pada masa hadapan bakal menjadi pengeluar zakat.

“Saya percaya gerak kerja dakwah perlu sentiasa inovatif dan proaktif, maka idea ZAC ini adalah demi menjadikan usaha dakwah zakat di Selangor lebih berdampak positif pada jangka masa panjang.

… dan sudah pasti ia juga akan memberikan implikasi yang baik kepada peningkatan jumlah kutipan zakat demi menampung keperluan asnaf yang semakin meningkat setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata pihaknya menjangkakan jumlah asnaf baharu meningkat kepada 14,000 orang tahun ini berbanding 12,000 tahun sebelumnya berdasarkan kepada usaha proaktif menjejak, mencari dan banci yang dijalankan LZS. 

Beliau berkata usaha mencari dan membanci asnaf-asnaf baharu tidak hanya melibatkan warga kerja LZS sebaliknya turut dibantu oleh gerak kerja lebih 2,000 amil zakat yang dilantik pihaknya di seluruh Selangor.

“Peningkatan ini pastinya menambah kepada jumlah lebih 70,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf yang sedang dibantu LZS ketika ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan