AM

GISBH: Pendidikan Anak-anak Diselamatkan Masih Diteruskan - Fadhlina

07/11/2024 09:33 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih meneruskan usaha memberi pendidikan kepada anak-anak bekas pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan menerusi Op Global mengikut kurikulum ditetapkan oleh kementerian.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata  pihaknya telah memulakan sesi pembelajaran kepada anak-anak tersebut dengan kelas psikososial pada dua minggu pertama bagi menilai keperluan psikososial mereka.

“Kini, mereka semua telah memulakan kelas sekolah seperti biasa, mengikut kurikulum kami dengan bimbingan daripada guru yang telah ditugaskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan Malaysia ke-14 tahun ini, di sini hari ini.

Fadhlina pada 23 Sept dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan akan mengambil alih aspek pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global mulai 1 Okt.

Beliau berkata program pendidikan untuk kanak-kanak tercicir berkenaan yang tidak mendapat sebarang pendidikan formal sebelum ini, menggunakan modul khas di tempat perlindungan mereka sekarang.

“Alhamdulillah setakat ini semua telah mengikuti pendidikan sebagaimana aliran perdana dengan bantuan daripada guru-guru yang telah kita tempatkan di mana sahaja anak-anak ini berada,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis menerusi Op Global menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun dalam serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan kerana disyaki menjadi mangsa eksploitasi.

Sementara itu, Fadhlina turut memaklumkan bahawa lebih 6,000 graduan guru IPG telah menerima penempatan mereka lebih awal iaitu pada 30 Sept, sebelum majlis konvokesyen mereka.

“Mereka telah mendapat penempatan dan mula menjalankan tugas sebagai guru,” katanya.

Ketika ditanya mengenai penempatan guru di Sabah, Sarawak, atau di seluruh negara, beliau menegaskan bahawa guru diperlukan di semua kawasan dan akan diagihkan secara adil.

“Graduan IPG akan ditempatkan di sekolah rendah dan sekolah menengah,” katanya.

Majlis Konvokesyen IPG Kementerian Pendidikan ke-14 yang berlangsung selama lima hari bermula 3 Nov itu melibatkan 6,382 graduan yang menamatkan pengajian dan latihan perguruan di 28 kampus IPG dan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan