Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Pendigitalan menjadi faktor penting bagi kejayaan industri pelancongan Malaysia, terutama kepada pengendali hotel yang berhasrat berkembang maju dalam pasaran yang semakin kompetitif dan dinamik.
Pengurus Besar Corus Hotel Kirinjit Singh berkata pendigitalan operasi perhotelan bukan sahaja bermanfaat, malah ia penting, didorong oleh pelbagai faktor.
Antara faktor tersebut termasuk meningkatkan kepuasan tetamu, meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan strategi pemasaran dan menyokong usaha kemampanan, yang bertindak balas terhadap perubahan pilihan pengguna.
Hotel-hotel yang beralih kepada teknologi digital mampu menawarkan perkhidmatan yang inovatif dan pengalaman yang diperibadikan, katanya.
“Masa depan pendigitalan dalam industri perhotelan di Malaysia kelihatan menjanjikan, didorong oleh kemajuan teknologi, perubahan jangkaan pengguna, dan usaha berterusan industri untuk menyesuaikan dengan perubahan ini dan berinovasi.
"Bagaimanapun, cabaran seperti halangan kos, had infrastruktur, dan kebimbangan privasi data perlu ditangani untuk merealisasikan sepenuhnya potensi manfaat transformasi digital," katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Kirinjit berkata Corus Hotel dengan pantas beralih kepada pendigitalan selepas pandemik COVID-19, meningkatkan perkhidmatan internetnya dengan Unifi Business Telekom Malaysia, yang menyediakan ketersambungan 5G lebih lancar.
Peralihan ini menghasilkan pengalaman tetamu dan komunikasi yang lebih baik, penjimatan kos operasi, tempahan dan pengurusan kakitangan yang lebih baik, dan kemajuan dalam usaha kemampanan, katanya.
"Unifi Business juga telah menyokong peralihan kami dengan menyediakan ketersambungan pantas dan stabil untuk operasi, serta penyelesaian hiburan dalam bilik semua-dalam-satu," kata Kirinjit.
Beliau melihat pendigitalan dalam industri perhotelan di Malaysia telah meningkat secara berterusan, walaupun dengan variasi merentasi segmen dan pertubuhan yang berbeza.
"Rangkaian hotel yang lebih besar dan jenama antarabangsa yang beroperasi di Malaysia cenderung mendahului dalam pedigitalan, kerana mereka biasanya mempunyai sumber dan infrastruktur untuk melaksanakan teknologi digital termaju untuk perkhidmatan tetamu, operasi dan pemasaran.
"Sebaliknya, hotel dan butik bebas yang lebih kecil di Malaysia mungkin mempunyai tahap penerimaan pendigitalan yang berbeza-beza," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial