KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama dengan Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) yang secara rasmi melantik Prasarana sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC).
Perjanjian itu juga meletakkan Prasarana sebagai RTC kedua di rantau Asia Pasifik selepas Australia dan yang ke-10 di seluruh dunia di bawah UITP.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pengiktirafan itu memperkasakan Prasarana untuk memperkukuh peranannya dalam memperluas sektor pengangkutan awam ke seluruh Malaysia dan rantau sekitar.
“Sebagai sebuah RTC, Prasarana kini mempunyai kelebihan, bukan sahaja untuk membangunkan modal insan dalaman tetapi juga memberikan manfaat kepada keseluruhan ekosistem pengangkutan awam di Malaysia dan juga rantau Asia Pasifik.
“Pengiktirafan ini juga membantu meningkatkan profil negara kita dalam industri pengangkutan awam,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu bersama Setiausaha Agung UITP Mohamed Mezghani, di sini hari ini.
Turut hadir menyaksikan majlis itu Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Sementara itu, Mezghani berkata pemilihan Prasarana sebagai RTC adalah berdasarkan rekod prestasinya dalam mengurus dan mengendalikan infrastruktur pengangkutan awam Malaysia.
Beliau berkata kejayaan syarikat itu dalam mengendalikan sistem transit yang besar dan kompleks, serta komitmen terhadap keselamatan, inovasi dan kemampanan dalam pengangkutan awam, menjadikan syarikat itu calon ideal untuk pengiktirafan tersebut.
"Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai sokongan institusi yang kukuh, Prasarana mempunyai sumber dan keupayaan untuk menyediakan latihan berkualiti tinggi kepada profesional di rantau ini,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial