KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor menggesa kaum wanita untuk terus bersuara dan memperjuangkan peningkatan representasi wanita di peringkat Parlimen menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan merupakan satu naskhah ‘hidup’ yang boleh diubah sebaik mungkin, mengikut kesesuaian zaman, sekali gus tidak mengenepikan hak mana-mana individu di negara ini.
“Puan-puan.. saya faham bahawa anda mahukan perwakilan sewajarnya di Parlimen, jadi saya (nak) beritahu sekarang adalah masa yang tepat (untuk bertindak), tetapi awak punya kumpulan pendesak (perlu main peranan).
“Saya cadangkan kalau nak ramai wanita dalam Parlimen, pinda buku ini (Perlembagaan Persekutuan), anda hanya ada tiga tahun sebelum pilihan raya akan datang… (Perlembagaan Persekutuan) adalah sesuatu yang ‘hidup’, kalau berpegang kepada yang lama tanpa pindaan, kita akan masih di belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi seorang daripada ahli panel dalam sesi dialog bertajuk Tatakelola Parlimen: Kuasa dan Sempadan Legislatif sempena Simposium Parlimen Malaysia Kali Ketiga yang diadakan di Bangunan Parlimen hari ini.
Sesi dialog yang dikendalikan oleh moderator personaliti TV3 Nadia Azmi itu turut menampilkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed dan penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian sebagai ahli panel.
Ketika ini hanya 30 orang Ahli Parlimen wanita yang di Dewan Rakyat.
Sementara itu Sivamurugan berkata adalah tidak wajar wujudnya diskriminasi wanita dalam politik, terutama jika seorang individu itu mempunyai kewibawaan.
“Wanita tidak boleh lagi menjadi perayu undi dengan bergerak dari rumah ke rumah semata-mata untuk mencari undi demi parti politik.
“Jika mereka mempunyai ketokohan yang membawa kepada kepercayaan dan keyakinan kepada rakyat maka itu perlu ditonjolkan dan diberikan peluang dan akses yang bersifat inklusif, sekali pun mereka dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Beliau berkata mendiskriminasikan wanita juga adalah tindakan yang hanya menyukarkan usaha Malaysia mencapai persekitaran politik yang matang dalam membawa negara maju ke hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial