AM

DoF Rangka Perancangan Ekoran Kelunturan Karang Sepanjang Tahun Ini

09/11/2024 08:02 PM

PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DoF) sedang merangka beberapa perancangan susulan kejadian kelunturan karang yang berlaku sepanjang tahun ini, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.

Beliau berkata antara perancangan berkenaan ialah menguruskan impak setempat, ancaman dan tekanan kepada terumbu karang melalui pengurusan terumbu karang yang berterusan, mengenal pasti terumbu dan spesies karang yang berdaya tahan, restorasi karang serta pembangunan polisi berkaitan pengurusan dan tindakan kelunturan karang di Malaysia.

“Tanpa usaha pemuliharaan yang kukuh dan tindakan global untuk mengurangkan perubahan iklim, kekerapan dan impak kejadian pelunturan, ia berkemungkinan mengancam kelangsungan hidup jangka panjang ekosistem terumbu karang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya masih melaksanakan kerja-kerja pemantauan dan notis penghentian sementara aktiviti restorasi, pemindahan karang dan sebarang aktiviti sentuhan fizikal karang yang dikeluarkan DoF pada 2 Julai lepas masih berkuat kuasa.

“Proses pemulihan karang boleh mengambil masa dari beberapa minggu hingga beberapa bulan, oleh itu usaha pemantauan akan dijalankan secara berterusan,” katanya.

Adnan berkata berdasarkan kepada kejadian kelunturan karang yang melanda terumbu karang di perairan Malaysia bermula Mei lepas, hampir 50 peratus terumbu karang khususnya di taman laut mengalami kelunturan dan tempoh pemulihan adalah berbeza berdasarkan lokasi.

Berkongsi data proses pemulihan terumbu karang, Adnan berkata setakat bulan lepas, proses itu berlaku secara perlahan di beberapa terumbu di perairan taman laut namun peratusan karang mati adalah lebih tinggi berbanding karang hidup semasa tempoh pemulihan.

Beliau berkata peningkatan peratusan karang mati adalah antara lima dan 10 peratus, manakala pengurangan peratusan karang hidup adalah antara lima dan 40 peratus, dengan terumbu karang pulau taman laut di perairan Terengganu mencatatkan pengurangan peratusan karang hidup yang tinggi berbanding pulau taman laut lain.

“Peningkatan peratus karang mati adalah kerana terdapat terumbu karang yang tidak berdaya tahan terhadap perubahan suhu yang meningkat secara mendadak dan berpanjangan. Ini membuktikan  perubahan iklim melalui peningkatan suhu air laut memberikan impak signifikan kepada kesihatan terumbu karang,” katanya.

Terdapat enam taman laut direkodkan di negara ini iaitu Pulau Payar di Kedah, Pulau Tioman di Pahang dan empat pulau di Terengganu iaitu Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas serta Pulau Tenggol.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan