AM

Malaysia, Mesir Setuju Tingkatkan Hubungan Dua Hala Ke Tahap Perkongsian Strategik

10/11/2024 10:54 PM

Daripada Nashir Mansor

KAHERAH, 10 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Mesir bersetuju untuk berusaha meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata kedua-dua negara juga komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang demi kepentingan dan manfaat bersama.

"Untuk mencapai matlamat ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama dan Perundingan Dua Hala pada 2025," katanya dalam sidang media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi selepas pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin di Istana Al-Ittihadiya di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan hormat kepada El-Sisi di istana sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke Mesir. Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata sebelum perbincangan dua hala.

Menurut Anwar, beliau dan El-Sisi juga bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, hal ehwal budaya, pertahanan dan keselamatan, agro-komoditi, serta pelancongan.

Beliau berkata kedua-dua negara juga akan memanfaatkan kekuatan masing-masing dan meneroka potensi baharu seperti ekonomi digital, pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan dan domain maritim, serta sektor pembuatan dan semikonduktor.

“Kami (Malaysia) agak bertuah kerana Malaysia telah muncul sebagai antara hab semikonduktor penting di rantau ini, dan kami seharusnya dapat bekerjasama dalam bidang ini.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia menyatakan kesediaannya untuk bekerja rapat dengan Mesir bagi mempromosikan hubungan ASEAN-Mesir.

“Malaysia juga menggalakkan Mesir untuk memperkukuhkan penglibatannya dengan ASEAN, melalui peranannya yang penting sebagai ahli pengasas Kesatuan Afrika,” katanya.

Anwar juga menyatakan harapan untuk bekerjasama rapat dengan Mesir dan negara-negara BRICS lain untuk menjadi anggota penuh BRICS serta untuk memajukan Agenda Global Selatan, selepas Malaysia mendapat pengesahan daripada Pemimpin BRICS mengenai Kategori Negara Rakan Kongsi BRICS pada Sidang Kemuncak BRICS ke-16 di Kazan, Rusia pada 23 Okt 2024.

Beliau berkata sokongan El-Sisi sangat penting dan diperlukan oleh Malaysia dalam permohonannya untuk menjadi anggota penuh BRICS.

Menurut Anwar, Mesir mempunyai tradisi yang kukuh sebagai antara negara dengan suara paling berpengaruh bagi Global Selatan dan sentiasa dilihat sebagai suara utama dalam isu kemerdekaan dan neutraliti.

"Dan ini selaras dengan pendirian ASEAN yang kami sebut sebagai 'Kepusatan”. Kami berinteraksi dengan semua negara, berkawan dengan semua negara, tetapi kami mengekalkan kemerdekaan kami dan bekerjasama dengan semua negara, terutamanya dalam hal perdagangan dan pelaburan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan