EKONOMI

PM Anwar Tiba Di Peru Untuk Lawatan Rasmi, Sertai Minggu Pemimpin Ekonomi APEC

13/11/2024 03:05 PM

LIMA (Peru), 13 Nov (Bernama) -- Pesawat yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendarat pada 11.15 malam waktu tempatan di sini pada Selasa untuk lawatan rasmi dan menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November.

Ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri ke Peru sejak memegang jawatan pada 2022.

Beliau disambut di Pangkalan Udara Tentera dengan Kawalan Kehormatan Statik oleh Menteri Pengeluaran Peru Sergio González Guerrero, Ketua Pengarah Protokol dan Istiadat Negara, Duta Besar Luis Escalante Schuler, Ketua Pangkalan Udara Jeneral Julio Cesar Gutierrez dan pegawai tentera udara Peru.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Peru Ahmad Irham Ikmal Hisham.

Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Huang Tiong Sii bersama pegawai kanan kerajaan turut mengikuti rombongan perdana menteri itu.

Dalam lawatannya, Perdana Menteri dijadual bertemu Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra untuk membincangkan kerjasama antara Malaysia dan Peru.

Sementara itu, libat urus Perdana Menteri pada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) akan turut melibatkan penyertaan dalam Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC pada 14 November, 2024.

Sementara itu perdana menteri dalam catatan media sosialnya sejurus tiba di sini berkata: “Semasa persidangan ini, saya akan menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi serta memupuk pembangunan adil dan inklusif untuk semua.

Selain APEC dan pertemuan dengan Presiden Peru, Dina Ercili, Anwar berkata beliau juga akan mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Malaysia dan Peru.

“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk negara dan rakyat,” katanya.

Beliau juga akan menyampaikan Intervensi Malaysia pada Retreat Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pada 16 November, 2024.

Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.

Negara Amerika Selatan itu bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di bahagian utara dan Brazil di bahagian timur.

Malaysia dan Peru adalah ahli Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Peru dari Januari hingga Julai 2024 berjumlah RM1.16 bilion, meningkat 36.3 peratus daripada RM847.7 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan