EKONOMI

Produk Minuman Life Water Tidak Terjejas Dengan Cukai Gula

13/11/2024 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan cukai gula yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 tidak akan menjejaskan produk minuman berkarbonat yang dikeluarkan oleh Life Water Bhd.

Pengarah Urusannya Liaw Hen Kong berkata kandungan gula dalam minuman berkarbonat Life Water adalah di bawah lima gram setiap 100 mililiter (ml).

“Resipi kami (untuk minuman berkarbonat) adalah di bawah ambang lima gram setiap 100 ml. Justeru, Life Water tidak terjejas dengan cukai gula,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia di sini hari ini.

Cukai gula kerajaan akan berkuat kuasa pada 1 Januari, 2025, mengenakan duti eksais 40 sen setiap liter terhadap minuman sedia diminum yang mengandungi lebih daripada lima gram gula setiap 100 ml serta ke atas buah-buahan atau minuman berasaskan sayuran dengan lebih daripada 12 gram gula setiap 100 ml.

Pada penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, syarikat minuman berpangkalan di Sabah itu dibuka pada 77 sen, premium 12 sen berbanding harga IPO pada 65 sen dengan 15.93 juta saham didagangkan.

Life Water memperoleh RM63.42 juta melalui terbitan awam sebanyak 97.56 juta saham biasa baharu.

Menerusi hasil diperoleh, sebanyak RM19.0 juta atau 30 peratus diperuntukkan untuk membina saluran pengeluaran air minuman tambahan di Loji Sandakan Sibuga 1, RM12.0 juta (18.9 peratus) untuk membeli barisan pengeluaran baharu di Loji Sandakan Sibuga 2 dan RM12.6 juta (19.9 peratus) pula akan membiayai pusat pengedaran kedua di Sandakan, katanya.

Selain itu, RM9.6 juta (15.2 peratus) diperuntukkan untuk mengembangkan kemudahan pembungkusan plastiknya di Kota Kinabalu manakala RM4.2 juta (6.6 peratus) dan RM6.0 juta (9.5 peratus) diperuntukkan untuk modal kerja dan bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Liaw berkata kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 800 juta liter menjelang 2027 selepas loji air itu siap.

"Menjelang akhir tahun, kapasiti kami akan mencecah 448 juta liter selepas pembesaran di Loji Keningau. Menjelang 2027, ia akan meningkat, memberikan kami keupayaan mencukupi untuk terus berkembang ke wilayah lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan