AM

Datuk Lat Terima Anugerah Seniman Negara 2024

14/11/2024 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan Anugerah Seniman Negara kesembilan kepada Datuk Lat pada Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 malam ini.

Berangkat sama pada majlis itu Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim diiringi Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan. 

Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid menerima wang tunai sebanyak RM60,000, watikah, trofi dan sepersalinan pakaian kebangsaan.

Beliau turut dianugerahkan status sebagai Seniman Tamu MOTAC serta insentif untuk meneruskan karya seni dan layak menerima rawatan kelas pertama di hospital kerajaan.

Pada majlis yang berlangsung di Hotel Majestic itu, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut menerima Anugerah Khas Biduan Negara 2024 yang disampaikan Khairul Firdaus.

Siti Nurhaliza menerima wang tunai RM30,000, sepersalinan pakaian kebangsaan, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu. 

Sementara itu, lima pengiat seni tanah air menerima Anugerah Karyawan Seni iaitu Datuk Mokhzani Ismail bagi kategori Karyawan Seni Muzik; Zakaria Ariffin (Karyawan Seni Lakon/Pementasan); Wong Kit Yaw (Karyawan Seni Tari); Bangie Anak Embol (Karyawan Seni Kraf Tangan) dan Wong Hoy Cheong (Karyawan Seni Visual).

Masing-masing menerima wang tunai RM30,000, watikah dan trofi, kemudahan rawatan kelas pertama di hospital kerajaan serta status sebagai Seniman Tamu. 

Anugerah terakhir, Anugerah Pendukung Seni pula diberikan kepada Radio Televisyen Malaysia bagi kategori media, Yayasan Hasanah bagi kategori korporat dan The Temple Of Fine Arts bagi kategori badan bukan kerajaan.

Penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM10,000, watikah dan trofi.

ASN 2024 merupakan penghormatan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni atas sumbangan mereka dalam kesenian negara dan di peringkat dunia.

Khairul Firdaus berkata pelaksanaan ASN 2024 selepas 15 tahun merupakan satu langkah dalam menzahirkan komitmen berterusan kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam memberikan pengiktirafan dan penghormatan kepada karyawan, seniman dan bakat tempatan.

“Pengiktirafan dan penghormatan kepada karyawan, seniman dan bakat tempatan ini kerana telah menzahirkan ketokohan, sumbangan dan kewibawaan cemerlang dalam memperkaya khazanah seni dan budaya negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata penggiat seni merupakan khazanah negara yang harus diangkat kerana mewakili warisan budaya Malaysia yang dihargai semua lapisan masyarakat.

“Justeru adalah wajar mereka diberikan pengiktirafan dan dihargai bukan sahaja kerana karya mereka tetapi komitmen yang diberikan yang tidak pernah luntur menghiasi industri negara,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan