KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasar supaya Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri menyelaras penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata penggubalan rang undang-undang itu bertujuan memelihara keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalaman termasuk melindungi institusi Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan keharmonian antara agama.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai rancangan kerajaan sama ada memansuh atau meminda Akta Hasutan 1948 supaya ia hanya digunakan untuk perkara yang menyentuh institusi diraja dan tidak disalahgunakan untuk isu lain, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Shamsul Anuar berkata penggubalan RUU itu dibuat susulan kajian Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keperluan pindaan Akta Hasutan supaya seiring dengan peredaran semasa dan era pendigitalan atau menggubal satu akta baharu bagi menangani isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
Buat masa ini, Shamsul Anuar berkata Akta Hasutan akan dikekalkan bagi melihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Kerajaan sentiasa memberikan hak kepada rakyat untuk bersuara, namun ia perlu mematuhi peraturan dan panduan yang telah ditetapkan supaya tidak melampaui batas,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata KDN memastikan senarai entiti yang diklasifikasikan sebagai ahli atau kumpulan pengganas seperti Abu Sayaf dan pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu sentiasa dikemas kini.
Beliau berkata langkah penyenaraian entiti itu membolehkan aktiviti kewangan mereka disekat serta dapat menghalang daripada terus melakukan aktiviti keganasan termasuk penculikan dan rompakan.
Pada masa sama, Shamsul Anuar memberi jaminan keadaan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah adalah selamat, terkawal dan aman dengan kewujudan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai usaha mengawal ancaman aktiviti penculikan dan rompakan di perairan pantai timur Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial