AM

Penggunaan Teknologi Tinggi Bantu Kekalkan Kelestarian Alam - Nik Nazmi

14/11/2024 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) --  Projek pembinaan yang menerapkan teknologi tinggi mampu mengurangkan pelepasan karbon serta penggunaan tenaga dengan penyelenggaraan pada kadar minimum, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata projek perumahan Milla Residence, Quartz di Wangsa Maju yang menggunakan Sistem Tempat Letak Kereta Automatik (ACPS) yakni teknologi yang dapat mengurangkan penggunaan tenaga seterusnya memberi manfaat, khususnya bagi matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 ACPS yang digunakan pada projek perumahan itu bukan sahaja melibatkan skala besar dalam negara tetapi mungkin antara yang terbesar di dunia dengan lebih 2,000 parkir disediakan.

“Projek perumahan yang kita saksikan pada hari ini ialah satu daripada projek yang menerapkan ACPS untuk menyimpan kenderaan tanpa perlu memandu ke kawasan parkir seperti kebiasaan, ia sebenarnya sudah digunakan di negara kita.

“Teknologi ACPS ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerana kawasannya tidak terbuka dan tidak perlukan lampu, ciri-ciri lain yang ada iaitu sistem penuaian air hujan termasuk stesen pengecas kenderaan elektrik (EV),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara Beverly Group, Samjung Tech dan Parktech Solutions di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Beverly Group Derick Lim dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samjung Tech Co Ltd Choi Jong Wan dan Pengarah Urusan Parktech Solutions Sdn Bhd Yow Kai Yong.

MoU itu  bertujuan memperkenalkan ACPS tercanggih yang dibangunkan Samjung Tech dari Korea Selatan di Milla Residence.

Sementara itu, Lim berkata komitmen untuk menambah nilai dan mengetengahkan kehidupan yang lestari dengan sistem inovatif boleh mengurangkan pelepasan karbon sebanyak kira-kira 30 peratus, menyumbang  ketara kepada masa depan lebih mesra alam.

“Kerjasama kami dengan Samjung Tech menunjukkan bagaimana teknologi canggih boleh menyokong kehidupan yang lebih hijau, meningkatkan kemudahan sambil menyumbang secara aktif kepada matlamat alam sekitar. 

“Melalui ACPS dan ciri lestari yang lain, Beverly Group komited terhadap pembangunan bandar mesra alam dengan mengurangkan jejak karbon penyelesaian tempat letak kereta tradisional bermula dengan Milla Residence,” katanya.

Beliau berkata ACPS yang merangkumi 2,358 tempat letak kereta dan 21 lif kereta ialah antara yang terbesar dan paling maju di Asia Tenggara dan dunia. 

“Saya percaya kerjasama ini menandakan pencapaian penting dalam menempatkan kami sebagai perintis dalam kehidupan bandar yang lestari kerana kami membawa teknologi tempat letak kereta terkini ke Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan