PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan dua lelaki terhadap denda RM1.1 juta yang dikenakan ke atas setiap mereka oleh Mahkamah Majistret kerana mengangkut barangan import dilarang, bernilai RM145,440 pada 2018.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan difailkan Chan Wah Chuan yang merupakan seorang pengarah syarikat dan pemandu lori Joseph Onod.
Hakim Che Mohd Ruzima membenarkan satu persoalan undang-undang dibangkitkan dan diputuskan ketika pendengaran rayuan itu.
Beliau turut membenarkan ikat jamin masing-masing RM100,000 dengan dua penjamin, sementara menunggu keputusan rayuan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport dan perlu melapor diri ke balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.
Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Majistret mensabitkan Chan, 46, dan Joseph, 39, atas kesalahan berkenaan dan mengenakan denda RM1.1 juta setiap seorang atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mereka didapati bersalah mengangkut 2,304 kotak Maximus X-Strong Beer dan 120 kotak bir yang sama, yang merupakan barangan dilarang import di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 45 Lebuhraya Shah Alam menghala ke Sri Petaling, Selangor, pada 10.40 pagi, 14 Sept 2018.
Pada 27 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan denda namun menambah hukuman penjara kepada enam tahun berbanding 12 bulan jika kedua-dua mereka gagal membayarnya.
Memandangkan kes itu berasal dari Mahkamah Majistret, Chan dan Joseph dikehendaki mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk meneruskan rayuan mereka.
Semasa prosiding, peguam S.R Raman yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon untuk mengemukakan 14 persoalan undang-undang bagi hujah pada pendengaran rayuan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong memohon jaminan RM100,000, dengan alasan adalah wajar untuk memastikan kedua-dua lelaki itu hadir ke mahkamah, walaupun Raman memohon jumlah itu dikurangkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial