SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Selangor bercadang memperkenalkan sukan pickleball sebagai satu daripada acara yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata selain semakin mendapat perhatian masyarakat setempat, pakar sukan juga mengunjurkan rantau Asia akan menjadi medan pickleball dunia dengan penambahan 100 juta pemain baharu dalam tempoh lima tahun.
"Antara faktor penarik pickleball ialah cara dan budayanya yang inklusif, tidak kira muda ataupun warga emas, lelaki atau wanita, kesemua dapat menyertai dan mula mengangkat padel dengan pantas.
“Tambahan kepada itu, Selangor berhasrat menjadi negeri pertama yang menganjurkan sukan pickleball dalam Sukan Malaysia selaku hos kepada SUKMA 2026, insya-Allah," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata bagi menyediakan atlet pickleball, kerajaan negeri akan menganjurkan Pesta Pickleball Selangor merangkumi Kejohanan Terbuka Antarabangsa Pickleball Selangor yang antara lain bertujuan menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Beliau berkata ia akan melibatkan pertandingan di sekolah serta daerah bagi meningkatkan minat dalam kalangan orang muda serta melahirkan bakat baharu.
"Pihak berkuasa tempatan juga akan mula menambah fasiliti gelanggang pickleball di taman-taman awam dengan menukar gelanggang badminton yang terletak di ruang terbuka memandangkan sukan badminton lebih elok difokuskan di kawasan tertutup," katanya dan menambah RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.
Berhubung SUKMA 2026, Amirudin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk pelaksanaan Program Pembangunan Sukan dalam memastikan persiapan rapi kontinjen Selangor bagi menghadapi temasya dwitahunan edisi ke-22 itu.
Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah SUKMA adalah pada 1998 dengan memperoleh 80 pingat emas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial