AM

Astro Tegas Menentang Pencerobohan Digital

15/11/2024 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), syarikat peneraju dalam bidang kandungan dan hiburan, menggiatkan usaha memerangi pencerobohan digital melalui langkah-langkah yang signifikan pada separuh pertama tahun kewangan (FY) 2025. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Euan Daryl Smith berkata usaha Astro menentang penstriman dan pengedaran haram telah dilakukan melalui pelbagai pendekatan termasuk tindakan undang-undang, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan mendidik pengguna.

Beliau berkata dalam tempoh itu, syarikat tersebut berjaya meraih nilai tindakan berjumlah  RM808,927.20 melalui denda, penyelesaian dan pendakwaan terhadap penjual peranti penstriman. 

“Apabila mereka mencuri kandungan, mereka bukan sahaja mengambil sesuatu yang bukan milik mereka...mereka mencuri daripada pelakon, pengarah, jurukamera dan perniagaan kecil di sebalik setiap penerbitan.

“Menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Astro berusaha meruntuhkan rangkaian pecerobohan, menutup penyiaran haram dan mengambil tindakan terhadap mereka yang meraih keuntungan daripada pencerobohan digital ini,” katanya. 

Bagaimanapun, Smith berkata misi antipencerobohan digital oleh Astro ini menjangkau lebih jauh daripada penguatkuasaan kerana syarikat itu percaya bahawa mendidik pengguna adalah sama pentingnya dengan mengambil tindakan undang-undang.

Beliau berkata ini kerana setiap kali penonton memilih platform yang sah, mereka menyumbang kepada masa depan industri sekali gus memastikan pencipta kandungan mendapat ganjaran yang setimpal dan penonton dapat menikmati kandungan dengan hati yang tenang.

“Setiap langganan yang sah memberi kesan. Ia mengukuhkan ekosistem kreativiti, memupuk bakat dan memastikan cerita terus berkembang,” katanya. 

Beliau berkata bagi memperlihatkan usaha dan pencapaian tersebut, Astro telah menyusun laporan pertengahan tahun yang memperincikan kejayaan antipencerobohan digital, gambaran tentang angka dan  kerjasama yang memacu kejayaan serta risiko tersembunyi dihadapi oleh pengguna akibat penstriman haram.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan