AM

Perbandingan Sosial, Kehendak Berlebihan Punca Elemen Rasuah Wujud - KSN

16/11/2024 11:05 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Tabiat membandingkan diri dengan orang lain yang kelihatan lebih berjaya atau memiliki lebih banyak harta, dan mengutamakan kehendak tidak seimbang dengan kemampuan kewangan, adalah antara elemen mendorong penjawat awam menjurus melakukan perbuatan tidak bermoral, seperti rasuah.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata fenomena berkenaan bagaimanapun mempunyai perkaitan dengan peningkatan kos sara hidup, yang secara tidak langsung membuka ruang untuk penjawat awam mencari jalan pintas bagi memenuhi keinginan mereka.

“Rasuah ini berlaku sebab bila kita duduk dalam organisasi itu, kita suka bandingkan. Kita tengok orang  sebelah meja ada telefon bimbit canggih, kita pun nak. Ini bagaimana ia bermula, bila kita punya kehendak itu melebihi kita punya pendapatan, rasuah akan berlaku.

“(Jadi) pertama ini kita naikkan gaji, (laksana) kajian pada skim saraan (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) (SSPA), yang keduanya kita tambah anjakan kepada kerjaya. Baru-baru ini saya dah bincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kita tambahkan dan perbanyakkan laluan kenaikan pangkat untuk mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu sesi wawancara khas bersama Bernama sempena 100 hari pelantikannya sebagai KSN ke-16 pada 19 Nov ini.

Mengenai laluan kenaikan pangkat, Shamsul Azri berkata ia ditumpukan kepada perkhidmatan Jabatan Imigresen (JIM) sebelum diperluaskan dalam perkhidmatan awam yang lain.

“Kita mulakan dengan Jabatan Imigresen dulu dan saya dah buat sesi (libat urus dengan JIM). Saya akan meneliti semua jabatan yang dikatakan sering menerima banyak aduan mengenai rasuah.

“...kerana saya percaya semua perkara ini ada penyelesaian. Cuma kadang-kadang kita punya pendekatan tak ada, (tapi) kita kena mendekati. Sebab bila jumpa dengan pengurusan atasan, semua benda nampak macam cantik saja, tapi selepas bersemuka (dengan golongan bawahan) baru tahu apa masalah sebenar,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Azri berkata Modul Latihan Malaysia MADANI Perkhidmatan Awam (MMPA) yang dikelola secara bersama oleh Akademi Kenegaraan Malaysia, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara lain menekankan enam elemen gagasan Malaysia MADANI iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan kepada seluruh penjawat awam.

Beliau turut percaya pendekatan menangani rasuah dan salah laku dalam perkhidmatan awam wajar diperbanyak menerusi aspek pendidikan dan bukannya berdasarkan hukuman semata-mata.

Menurutnya, pendekatan sama digunakan di Singapura dan hasilnya negara jiran itu terkenal dengan usaha pencegahan dengan mendidik penjawat awam untuk menghindari rasuah.

“Ini adalah apa yang Singapura buat. Mereka mendidik penjawat awam supaya tidak mengambil rasuah atau terlibat dengan rasuah. Jadi, pada saya pendidikan didahulukan, dan hukuman kemudian. Benda macam ini (gejala rasuah) kadang-kadang kita kena fikir, kenapa golongan tertentu terlibat dalam isu ini. Sebab itu kita perlu mendidik,” kata Shamsul Azri.

Dalam pada itu, beliau mengulangi pendirian Malaysia yang menyasarkan kedudukan ke-25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.

“Untuk itu, saya telah mempengerusikan Pasukan Petugas Khas CPI, dan mungkin dalam minggu depan, saya akan berjumpa dengan pengurusan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), satu daripada pihak penting yang terlibat dengan CPI, untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka bagaimana untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI,” katanya.

Pada penilaian CPI 2023, kedudukan Malaysia meningkat ke tangga ke-57 berbanding 61 pada tahun sebelumnya.

Pada 26 Sept lepas, Shamsul Azri dilaporkan berkata Pasukan Petugas Khas CPI antara lain berperanan menganalisis dapatan tinjauan CPI dan mencadangkan syor serta strategi reformasi institusi dan perundangan termasuk pemantapan mekanisme semak dan imbang.

Sebelum ini, dilaporkan pasukan itu akan turut memantau rapat dan membuat tindakan susulan bersesuaian melalui inisiatif di bawah Strategi Pembantu Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan