AM

Gombak-Hulu Langat Geopark Bantu Jayakan Tahun Melawat Selangor 2025 - Amirudin

16/11/2024 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Perisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama di Selangor akan menjadi antara batu loncatan bagi mempromosikan tarikan pelancongan yang masih mengekalkan landskap alam semula jadi di negeri berkenaan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia akan menyumbang kepada misi kerajaan negeri menarik minat pelancong berkunjung ke Selangor sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan kemasukan lapan juta pelancong.

“Antara tarikan pelancongan ialah geologi kawasan geopark ini yang didominasi batuan granit banjaran utama dengan usia antara 200 hingga 220 juta tahun. Tarikan lain ialah batuan pliestosen akhir (di Batu Caves) yang paling selatan di benua Asia berusia 350 hingga 500 juta tahun.

“Tarikan lain ialah Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) yang adalah timbulan kuarza terpanjang di Asia Tenggara sejauh 14 kilometer dan lombong arang batu tertua di Malaysia yang terletak di Batu Arang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai Geopark Kebangsaan Pertama Negeri Selangor di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves hari ini yang disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin berkata Gombak-Hulu Langat Geopark yang disasarkan untuk mendapat status UNESCO Global Geopark pada 2028 akan melalui penilaian berkala selepas penilaian pertama pada 14 Nov 2022 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

“Patik berharap, Gombak-Hulu Langat Geopark ini akan menjadi satu panduan kepada daerah- daerah lain untuk memperbanyak usaha melindungi geotapak di Selangor agar dapat berada setaraf dengan negara maju lain yang memiliki pelbagai geotapak yang masih utuh terpelihara,” katanya.

Beliau berkata Tourism Selangor ialah Badan Pengurusan Gombak-Hulu Langat Geopark yang telah mendukung tanggungjawab untuk menguruskan projek berkenaan, serta disokong oleh agensi- agensi berkepentingan seperti PLAN Malaysia Selangor dan Jabatan Mineral dan Geosains Selangor.

Amirudin berkata rakyat Selangor telah bersama-sama menggembleng tenaga dan mendapat manfaat daripada pelaksanaan Gombak Hulu Langat Geopark termasuk komuniti Orang Asli, pendidik, pelajar dan sekolah melalui beberapa program.

Antara program berkenaan ialah penubuhan Badan Pengurusan Gombak-Hulu Langat Geopark yang menyasarkan pelan bagi mewujudkan kumpulan pemandu arah Geopark yang terdiri komuniti Geopark setempat menjelang 2026.

Selain itu, pemerkasaan komuniti melalui program-program latihan serta seminar untuk menjana ekonomi melalui warisan geologi setempat di Daerah Gombak dan Hulu Langat serta penekanan bagi geomakanan, geokomuniti dan geosekolah untuk diperkenalkan kepada para pelancong. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan