AM

Penahanan Rakyat Malaysia: Beri Ruang Pihak Berkuasa Thailand Lakukan Siasatan - Saifuddin

16/11/2024 04:40 PM

PASIR MAS, 16 Nov (Bernama) -- Semua pihak diminta menghormati undang-undang Thailand dan memberi ruang kepada pihak berkuasa negara itu menjalankan siasatan berhubung penahanan enam rakyat Malaysia di Sungai Golok, Narathiwat pada 1 Nov lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana kesemua mereka melakukan kesalahan di sana dan kes berkenaan tertakluk di bawah undang-undang Thailand.

"Setakat perkembangan semasa oleh Ketua Polis Kelantan (Datuk Mohd Yusoff Mamat) yang saya ikuti, kesemua mereka telah dituduh di mahkamah dan status mereka direman selama tiga bulan di negara itu," katanya ketika mengulas mengenai perkembangan terkini enam rakyat Malaysia yang ditahan kerana dadah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Santuni MADANI Komisioner Jeneral Penjara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga, di sini hari ini.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata pihaknya juga akan menyemak kesalahan-kesalahan membabitkan enam rakyat Malaysia itu, yang dilakukan dalam negara seperti cara kemasukan ke negara jiran itu.

"Ya, kita perlu siasat juga sama ada mereka ini masuk ke sana (Thailand) melalui jalan rasmi atau lorong tikus dan lain-lain jenayah lagi," katanya.

Pada 1 Nov lepas, enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis tempatan dari Kelantan ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh polis Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, pada 6 pagi.

Hasil pemeriksaan di dalam bilik terbabit telah menemukan kira-kira 6,000 biji pil kuda dan kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut.

Dilaporkan dua daripada suspek yang ditahan, dipercayai memasuki Thailand menggunakan pangkalan haram Gergaji dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, manakala empat lagi menggunakan laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang.

Mengulas mengenai pembinaan tembok keselamatan banjir di sepajang Rantau Panjang-Sungai Golok, Saifuddin Nasution berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneliti cadangan berkenaan.

"Soal pembinaan tembok sempadan ini kita bincang dan akan memuktamadkannya di peringkat MKN.

"Sekarang ini, ada cadangan daripada pihak polis dan kerajaan negeri berhubung pembinaan tembok ini dan saya percaya MKN akan memantau perkara ini. Jika telah tiba masa untuk dibincangkan, MKN akan panggil kementerian untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Dua hari lepas, kerajaan Thailand menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengusulkan kepada kerajaan pusat tentang pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang kawasan sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Gabenor Wilayah Narathiwat Trakul Thotham dilaporkan berkata pembinaan tembok berkenaan akan menjadi langkah penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.

Pada 5 Nov lepas, Kelantan merancang untuk mengusulkan kepada kerajaan Persekutuan mengenai pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand.

Usaha ini dianggap penting untuk menangani masalah jenayah penyeludupan serta mengurangkan risiko banjir yang berulang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan