AM

Program Santuni MADANI Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Dengan Rakyat

16/11/2024 08:36 PM

ALOR SETAR, 16 Nov (Bernama) -- Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Hilir, Kepala Batas dekat sini mampu menjadi platform menonjolkan kecaknaan pemimpin terhadap masyarakat setempat selain mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat.

Peniaga kedai makanan Muhamad Faizal Ismail, 39, berkata menerusi program itu, rakyat bukan sahaja dapat mengenali pemimpin yang lahir atau dibesarkan di kampung berkenaan, tetapi juga didedahkan dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan.

“Program Santuni MADANI ini sangat bagus, ia membawa perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat. Saya nak tengok apa bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan pada program ini.

“Program hari ini pun nampak meriah, boleh diadakan lebih kerap. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, dan semua pihak yang terlibat dalam program ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhamad Faizal yang berasal dari Kampung Hilir juga bersyukur kerana dipilih sebagai penerima bagi sumbangan zakat daripada Telekom Malaysia (TM) dan barangan keperluan asas daripada Pasaraya Econsave.

Seorang lagi pengunjung, Nur Atirah Najwa Roslan, 25, berkata beliau turut berterima kasih kepada pihak penganjur program berkenaan yang memilih neneknya sebagai antara penerima sumbangan zakat daripada TM.

“Nenek saya Che Ah Awang berusia 75 tahun kini kurang sihat, saya tinggal berdua sahaja dengan beliau, jadi dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu membeli keperluan harian,” katanya.

Terdahulu, lebih 1,000 penduduk hadir ke Program Santuni MADANI di Kampung Hilir iaitu kampung kelahiran Mohamad Fauzi yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi dekat sini.

Program itu bertujuan meningkatkan kecaknaan pemimpin dengan menyantuni dan menjadi teladan kepada penduduk kampung, selain mengenal pasti isu-isu yang dihadapi, serta usaha meningkatkan potensi masyarakat setempat melalui sesi libat urus.

Pada program itu Mohamad Fauzi turut menyampaikan sumbangan zakat daripada TM dan barangan keperluan asas daripada Pasaraya Econsave kepada lebih 20 penerima asnaf, termasuk penduduk kampung dan pelajar sekolah.

Program turut disertai lebih 20 agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Perpustakaan Negeri Kedah, Pusat Sains Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pertahanan Awam serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi. 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan dan Guru Besar SK Bukit Tinggi Mohd Hadi Saad.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan