AM

Ahli Pandu Puteri Diseru Aktif Dekati Golongan Muda Bantu Elak Terjerumus Musibah

17/11/2024 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) diseru supaya aktif mendekati golongan muda termasuk menasihati mereka agar kumpulan ini tidak terjerumus melakukan perkara yang boleh mendatangkan musibah.

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini penting kerana kemajuan teknologi memberi cabaran, termasuk mendedahkan golongan berkenaan dengan penipuan atas talian, buli siber, melayari laman web lucah serta gangguan seksual dalam talian.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata sebagai organisasi yang telah melahirkan ramai tokoh sepanjang 108 tahun penubuhannya, PPPM harus terus mendidik golongan muda untuk menjadi insan yang bertanggungjawab, berani dan berkebolehan dalam menghadapi segala cabaran hidup.

“Kita telah lahirkan generasi yang dipupuk dengan disiplin dan sifat kepimpinan yang tinggi dan penekanan turut diberikan kepada pembangunan karakter yang seimbang dari segi mental, fizikal dan rohani.

“Kita turut lengkapkan ahli-ahli PPPM dengan kemahiran praktikal seperti pertolongan cemas, asas kemahiran hidup dan persekitaran. Justeru, walaupun cabaran hidup masa kini amatlah berbeza daripada zaman dahulu, namun keberadaan dan kewujudan PPPM selama 108 tahun di negara ini merupakan bukti bahawa ia kekal relevan dan mampu beradaptasi dengan perubahan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan ke-108 PPPM dan Pelancaran Jualan Biskut Tabung PPPM Tahun 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng.

Dr Wan Azizah berkata berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), secara purata sebanyak 10 kes buli siber dipercayai berlaku setiap hari dalam tempoh dua tahun sejak 2022.

Jumlah itu membabitkan 9,483 aduan kes buli siber diterima MCMC dalam tempoh terbabit, iaitu 4,878 kes melibatkan wanita dan lelaki sebanyak 4,605 kes.

“Berikutan seriusnya buli siber ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 dalam masa yang terdekat ini. Sama-sama kita doakan semoga usaha murni kerajaan ini akan dapat direalisasikan untuk melindungi seluruh rakyat tanpa diskriminasi, terutamanya kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan tahniah kepada PPPM atas usaha menjalinkan kerjasama dengan pihak Julie’s Manufacturing Sdn Bhd untuk inisiatif jualan biskut tabung itu.  

Sumbangan yang diberikan akan dimanfaatkan bagi  program latihan dan aktiviti pembangunan holistik gadis-gadis dan wanita muda di seluruh negara melalui cawangan-cawangan PPPM di peringkat negeri dan daerah, tambah beliau.

“Kita mahu jual lebih banyak biskut untuk mendapatkan lebih banyak dana untuk hasrat murni ini. Sumbangan masih dibuka dan mana-mana pihak yang ingin menambah lagi sumbangan adalah sangat di alu-alukan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan