KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi rakan kongsi perlu memperkukuh hubungan baik demi perpaduan dan kecemerlangan bersama, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata lapan parti yang bergabung dalam GRS termasuk Parti Liberal Demokratik (LDP) merupakan gabungan parti-parti politik terbesar di Sabah pada masa ini.
Beliau berkata melalui gabungan itu sudah menunjukkan kesatuan dan kekuatan GRS dalam perjuangan sekali gus mencerminkan kesediaan, kesatuan dan solidariti orang Sabah dalam memperjuangkan hak negeri dan rakyat berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama.
“Saya ingin mengajak rakan-rakan dalam LDP selaku ahli parti komponen GRS agar melihat kerangka perjuangan yang lebih besar dalam apa juga gerakan dan tindakan,” katanya ketika berucap pada persidangan dan pemilihan LDP di sini hari ini.
Bagaimanapun, Hajiji berkata GRS kini turut berdepan cabaran dengan pelbagai fitnah dan taktik pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan GRS dan PH plus.
Beliau berkata semua pembohongan dan fitnah yang disebarkan itu bukan sahaja perlu disangkal tetapi wajar dipatahkan agar rakyat tidak terus tertipu atau termakan hasutan hasil perbuatan yang ingin menjatuhkan kerajaan secara kotor serta tidak bermoral.
“Saya yakin LDP mampu memainkan peranan yang penting dalam membendung dan memerangi segala dakyah dan taktik kotor yang digembar-gemburkan oleh pembangkang,” katanya.
Sementara itu, Presiden LDP Datuk Chin Su Phin berkata LDP sentiasa memberi sokongan penuh kepada GRS yang dipimpin oleh Hajiji untuk memastikan kemenangan parti itu pada pilihan raya negeri yang akan datang.
Beliau berkata dengan sokongan itu, Sabah akan terus memiliki autonomi lebih besar untuk menjaga kepentingan negeri Sabah dan suara didengari serta keperluan negeri dipenuhi.
“Misi kita sekarang adalah untuk menunjukkan keikhlasan kita demi mendapatkan kepercayaan rakyat, adalah penting untuk meletakkan calon-calon yang boleh menang dan mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Parti komponen GRS terdiri Gagasan Rakyat, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), LDP dan Parti Cinta Sabah (PCS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial