EKONOMI

Kerjasama Malaysia-Brazil Buka Banyak Peluang Untuk Industri Semikonduktor Dan E&E - PM Anwar

18/11/2024 08:36 AM

Daripada M. Saraswathi

RIO DE JANEIRO (Brazil), 18 November (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa industri elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor Malaysia dan Brazil untuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain dan meningkatkan kerjasama berikutan Selatan Global memainkan peranan penting. 

“Walaupun kami dari negara yang jauh, potensinya sangat besar. Brazil adalah tonggak utama ekonomi Amerika Latin manakala Malaysia dengan pantas menempatkan kedudukannya sebagai hab semikonduktor dan destinasi menarik untuk pusat data dan kecerdasan buatan (AI)," kata Anwar.

Bercakap pada mesyuarat meja bulat dengan wakil daripada industri semikonduktor dan ketua industri di sini hari ini, beliau menekankan kepentingan perkongsian ini untuk memacu inovasi dan kemajuan dalam kalangan negara di Selatan Global.

"Jadi, kerjasama dengan Brazil, pada saya, adalah sangat kritikal pada ketika ini kerana ia akan membolehkan negara-negara di Selatan memanfaatkan kepakaran, pengetahuan dan penyelidikan mereka utnuk mencatatkan kecemerlangan dalam bidang yang boleh memberi impak besar," katanya.

Beliau juga menekankan peluang kerjasama di luar sektor tradisional.

"Dalam konteks Selatan Global adalah penting bagi kita mengukuhkan kerjasama sambil meneruskan libat urus dalam perdagangan terbuka dengan ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan China," katanya.

Acara itu dihadiri 34 pemimpin korporat daripada 20 syarikat terkemuka merentasi pelbagai industri.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Anwar berkata walaupun jumlah perdagangan semikonduktor dan eksport dari Brazil agak kecil berbanding Malaysia, industri di Brazil merekodkan kecemerlangan dalam beberapa bidang yang boleh menguntungkan kedua-dua negara.

Malaysia mempunyai ekosistem semikonduktor yang komprehensif meliputi aktiviti bahagian ‘front-end’ dan ‘back-end’, pada masa ini ia merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan eksport melebihi US$85 bilion.

Ekosistem Malaysia termasuk syarikat global terkemuka seperti Intel, Infineon, Micron, dan Texas Instruments serta syarikat tempatan seperti Carsem dan Inari.

Sementara itu, nilai eksport semikonduktor Brazil berjumlah US$1 bilion dan kelebihan daya saing negara terletak itu adalah pada pembuatan litar bersepadu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia berkata potensi kerjasama dalam industri semikonduktor adalah salah satu daripada beberapa topik dibincangkan semasa pertemuannya dengan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva pada Ahad.

“Kami berdua sangat neutral dalam perdagangan dan pembangunan serta mengambil pandangan sangat bebas mengenai isu dan konflik antarabangsa. Kami tidak ditentukan oleh mana-mana kuasa besar, dan itu menjadikan pendirian kami agak serupa dari segi interaksi dasar luar negara kami.

"Dan bagi pendapat saya, apa yang paling penting ialah kami berdua mahu memberi tumpuan kepada ekonomi, pembangunan dan teknologi baharu," katanya.

Anwar tiba di Rio de Janeiro pada hari Sabtu untuk lawatan rasmi pertamanya ke Brazil atas jemputan da Silva selepas menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di Lima, Peru.

Malaysia adalah antara 17 negara tetamu yang dijemput ke Sidang Kemuncak G20 di Brazil bersama negara seperti Chile, Qatar, Mesir dan Singapura.

Pada 2023, Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, merupakan rakan dagangan ke-20 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-29 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar.

Antara negara Amerika Latin dan Caribbean, Brazil ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import terbesar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan