JENAYAH & MAHKAMAH

Kontena Hempap Kereta: Pemandu Treler Dihadap Ke Mahkamah

18/11/2024 02:31 PM

BUKIT MERTAJAM, 18 Nov (Bernama) -- Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, minggu lepas.

Marhizan Johari, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut kertas pertuduhan, Marhizan sebagai pemandu treler jenis Volvo telah memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu wanita, Lee Zi Rou, 21, di Jalan Kebun Sireh di sini, pada 9.30 pagi, 13 Nov lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan tidak menawarkan jaminan terhadap Marhizan mengambil kira kepentingan awam memandangkan kes berkenaan mendapat liputan meluas terutamanya menerusi media sosial.

"Selain itu, tertuduh juga tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah dan penyesalan apabila menunjukkan isyarat 'peace' ke arah petugas media yang mengambil gambarnya (ketika permohonan reman)," katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin dan menetapkan 24 Jan depan bagi penyerahan laporan kimia, bedah siasat serta laporan Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Terdahulu, Bernama melaporkan seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh dari treler dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah, 13 Nov lepas.

Mangsa yang maut, Lee Zi Rou, 21, memandu kereta Perodua Bezza manakala Tan Chou Theng, 25, yang cedera parah merupakan pemandu Honda Jazz. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan