AM

PDP, Futurise Keluarkan Tujuh Garis Panduan Dan Standard Tahun Depan

18/11/2024 04:14 PM

PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) dan Futurise Sdn Bhd (Futurise) akan mengeluarkan empat garis panduan dan satu standard menjelang awal 2025, manakala baki tiga garis panduan lagi pada suku ketiga 2025.

PDP dan Futurise dalam kenyataan bersama hari ini memberitahu garis panduan yang akan dikeluarkan pada awal tahun depan ialah Pegawai Perlindungan Data, Pemberitahuan Pelanggaran Data, Pemindahan Data Rentas Sempadan dan Kemudahalihan Data, termasuk versi terkini Standard Perlindungan Data Peribadi.

“Garis panduan ini disasarkan untuk menyediakan rangka kerja yang jelas dan boleh dilaksanakan untuk sektor swasta bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan perlindungan data dan piawaian antarabangsa yang semakin berkembang.

“Ia juga menangani bidang kritikal seperti pengendalian data, penyimpanan, kawalan akses dan pengurusan pelanggaran, memperkasakan perniagaan dan organisasi untuk menerima pakai amalan terbaik dalam melindungi data peribadi,” katanya.

Garis panduan ini bertujuan untuk mengukuhkan piawaian perlindungan data dan sebagai sebahagian daripada penghantaran melalui kawal selia sandbox.

Dengan mengeluarkan garis panduan ini, PDP dan Futurise berada di landasan tepat untuk menyiapkan garis panduan dan piawaian di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) menjelang akhir tahun ini.

Kenyataan itu turut memberitahu ia adalah satu langkah penting ke hadapan selepas kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada awal 2024, yang meletakkan asas kepada usaha sama untuk menyokong landskap perlindungan data dan privasi Malaysia.

“Pembangunan garis panduan itu juga selaras dengan pindaan Akta 709 yang telah diluluskan Parlimen pada Julai 2024 dan diwartakan pada 17 Okt 2024.”

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Prof Dr Mohd Nazri Kama yang juga Pesuruhjaya PDP berkata kerjasama dengan kawal selia sandbox Futurise membolehkan PDP menghasilkan garis panduan yang bukan sahaja mematuhi piawaian antarabangsa tetapi juga disesuaikan dengan persekitaran kawal selia unik di Malaysia.

“Ketika Malaysia menerima transformasi digitalnya, memastikan privasi dan keselamatan data peribadi menjadi keutamaan. Kami yakin garis panduan itu akan berfungsi sebagai sumber rujukan untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengurusan data peribadi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Rosihan Zain Baharudin berkata perlindungan data bukan sahaja mengenai pematuhan tetapi juga memastikan kepercayaan dalam ekonomi digital.

“Kawal selia sandbox mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan rangka kerja yang kukuh dan inklusif kerana ia mengambil kira input daripada pelbagai pihak berkepentingan yang akan memperkasakan organisasi untuk menegakkan piawaian tertinggi dalam keselamatan data,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan