JENAYAH & MAHKAMAH

Sebutan Semula Kes Pemandu Wanita Langgar Pelajar UiTM Dungun 18 Dis

18/11/2024 04:40 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 18 Dis untuk sebutan semula kes pemandu wanita yang berdepan tuduhan cubaan membunuh sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun bulan lepas.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim yang memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan penuh psikiatri tertuduh Norizan Ismail, 49, belum diterima kerana masih menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.

Terdahulu, suri rumah dan ibu kepada tiga anak itu diperintahkan mahkamah menjalani pemeriksaan mental berikutan pertuduhan pertama terhadapnya mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan pada15 Okt lepas. 

Norizan didakwa kerana melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pada 7.35 malam, 9 Okt lepas di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun.

Dia sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

Pada 15 Okt lepas, Majistret Nur Amirah Fatihah Osman memutuskan supaya Norizan dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan mental selama sebulan.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan