JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Kasino Forest City, Mahkamah Tetapkan 21-23 Jan Sambung Bicara

18/11/2024 04:52 PM

JOHOR BAHRU, 18 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 21 hingga 23 Jan depan sebagai tarikh sambung perbicaraan berhubung kes melibatkan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson Badrul Hisham Shaharin yang didakwa membuat penerbitan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City, Iskandar Puteri. 

Hakim Rasidah Roslee ketika prosiding perbicaraan hari pertama kes itu, hari ini turut menetapkan tarikh berkenaan untuk keputusan representasi pihak pembelaan berhubung penarikan balik laporan polis terhadap kes itu.

Terdahulu saksi pendakwaan, Pegawai Penyiasat Kanan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras ASP Muhammad Hanif Abdul Hafitz memaklumkan, laporan polis berhubung dakwaan berkenaan yang dibuat April lepas, telah ditarik semula pengadu. 

"Laporan polis itu telah ditarik balik pengadu pada 17 Julai 2024," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sobri Othman. 

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Badrul Hisham, 46, atau dikenali sebagai Chegu Bard kemudian memaklumkan pihaknya telah menghantar representasi berhubung penarikan balik laporan polis pada 7 Nov lepas, namun belum menerima maklum balas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sobri, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah dan Muhammad Amir Hanif Ahijman. 

Pada 30 April lepas, Chegu Bard mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat penerbitan menghasut menggunakan akaun Facebook atas nama Che'Gu Bard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang 26 April lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan