SEREMBAN, 18 Nov ( Bernama) -- Yayasan Negeri Sembilan (YNS) memperuntukkan lebih RM3 juta, kepada 618 siswazah penerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata daripada jumlah itu RM850,000 diperuntukan bagi siri keempat Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan 2024 melibatkan 170 penerima, dengan setiap siswazah cemerlang itu menerima insentif RM 5,000 seorang.
Beliau berkata peningkatan siswazah kelahiran Negeri Sembilan yang cemerlang itu jelas menggambarkan kualiti dan kompetensi sumber manusia anak-anak negeri ini, yang bakal memberikan manfaat kepada masa depan negara.
"Pendidikan adalah agenda utama dalam melahirkan anak-anak negeri cemerlang dalam akademik serta cerdas dalam aspek karakter atau akhlak," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Yayasan Negeri Sembilan siri keempat di Klana Resort Seremban, di sini hari ini.
Aminuddin berkata anugerah ini bukan sekadar pendorong atau pengiktirafan tetapi merupakan penggerak dan peneraju kepada perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan dalam kehidupan bermasyarakat.
"Bagi mereka yang telah habis belajar diharap dapat menyumbang bakti dengan menjadi sukarelawan YNS membantu perkembangan pendidikan anak-anak di negeri yang masih memerlukan sokongan dan bimbingan kita semua," katanya.
Sementara itu Siti Nurhaziqah Hamid, 27, dan adiknya Siti Nurfahana, 25, merupakan antara dua beradik penerima siswazah cemerlang kelas pertama.
Kedua-dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor Bahru ini melahirkan rasa syukur dan gembira apabila menerima insentif istimewa buat pertama kalinya.
"Inisiatif sebegini bukan sahaja memberi penghargaan kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga membuka peluang kepada pelajar untuk merasai sokongan langsung terhadap usaha mereka. Anugerah seperti ini pastinya menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha lebih gigih mencapai kejayaan," kata Siti Nurfahana, anak bongsu daripada empat beradik itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial