JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak Perempuan Maut Dilanggar Lari, Polis Tahan Pemandu Lelaki

18/11/2024 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kejadian langgar lari hingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan maut manakala ibu bapanya cedera di Lebuhraya Bukit Jalil di sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pemandu berusia 31 tahun itu ditahan ketika hadir di JSPT Kuala Lumpur hari ini untuk memberi keterangan.

 Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, tiga beranak tersebut terjatuh di atas jalan raya selepas motosikal jenis Honda Beat ditunggang mereka dilanggar kereta milik suspek.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh orang awam dan anak mangsa berumur tujuh tahun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di Facebook video rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta berdurasi 28 saat dengan kapsyen mendakwa kereta itu berhenti seketika kemudian membuat pusingan U dan beredar selepas kejadian berlaku.

Rakaman itu, memaparkan kereta jenis BMW 5 Series yang dipandu laju telah merempuh sebuah motosikal sebelum berhenti agak jauh dari kawasan insiden.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan