DUNIA

India Denda US$25.4 Juta Ke Atas Meta Kerana Amalan Perniagaan Tidak Adil

19/11/2024 09:41 AM

NEW DELHI, 19 Nov (Bernama) -- India mengenakan denda 2,131 juta rupee (US$25.4 juta) terhadap syarikat induk Facebook, Meta, kerana amalan perniagaan tidak adil dan mengarahkan syarikat itu agar tidak berkongsi data pengguna WhatsApp dengan platform lain dalam kumpulan teknologi Amerika Syarikat (AS) berkenaan.

Suruhanjaya Persaingan India mengarahkan Meta agar WhatsApp tidak berkongsi data pengguna dengan syarikat atau produk lain dalam kumpulan teknologi AS itu untuk tujuan pengiklanan selama lima tahun.

Isu itu berkaitan dengan dasar privasi WhatsApp 2021, yang dilaksanakan dengan pendekatan "terima atau tinggalkan", menurut kenyataan suruhanjaya pada Isnin.

Pengguna aplikasi pesanan itu diwajibkan menerima terma kemas kini untuk terus menggunakan perkhidmatan itu, yang dianggap sebagai penyalahgunaan kedudukan dominan Meta, kata suruhanjaya berkenaan.

Sebelum dasar privasi yang dikemas kini pada 2021, pengguna WhatsApp diberi pilihan untuk memutuskan sama ada mereka mahu berkongsi data mereka dengan Facebook. Namun, WhatsApp menjadikan perkongsian data dengan Meta wajib untuk semua pengguna di bawah terma perkhidmatan yang baharu, menurut suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu juga menyatakan bahawa perkongsian data pengguna yang dikumpulkan di WhatsApp dengan syarikat lain di bawah Meta untuk tujuan selain menyediakan perkhidmatan WhatsApp "tidak akan dijadikan syarat untuk pengguna mengakses perkhidmatan WhatsApp di India."

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan