EKONOMI

Jumlah Perdagangan Malaysia Naik 2.1 Peratus Kepada RM244.3 Bilion Pada Okt - DOSM

19/11/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Jumlah perdagangan Malaysia naik 2.1 peratus kepada RM244.3 bilion pada Oktober 2024, meningkat berbanding  RM239.3 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya selepas dipacu oleh pertumbuhan dalam eksport dan import, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin melaporkan eksport melonjak 1.6 peratus atau RM2.0 bilion, manakala import bertambah sebanyak 2.6 peratus kepada RM116.1 bilion.

"Eksport Malaysia menokok sejajar dengan pertumbuhan eksport domestik menjelang Oktober 2024. Eksport domestik, yang menyumbang 77.6 peratus daripada jumlah eksport menyaksikan kenaikan 3.1 peratus daripada Oktober 2023 sehingga mencecah RM99.4 bilion.

"Sementara itu, eksport semula, yang membentuk 22.4 peratus daripada jumlah eksport, merosot 3.5 peratus kepada RM28.7 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Begitu juga, import meningkat 2.6 peratus kepada RM116.1 bilion.

Lebihan dagangan, bagaimanapun, susut sebanyak 7.6 peratus kepada RM12.0 bilion, menandakan lebihan bulan ke-54 berturut-turut sejak Mei 2020.

Mohd Uzir menjelaskan dari bulan ke bulan, eksport, import serta jumlah perdagangan menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 3.7 peratus, 4.8 peratus, dan 4.2 peratus. Sebaliknya, imbangan dagangan menurun 6.2 peratus dari bulan ke bulan.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, jumlah perdagangan, eksport dan import turut merekodkan pertumbuhan.

"Jumlah perdagangan berkembang 9.3 peratus kepada RM2.4 trilion daripada RM2.2 trilion, sejajar dengan pengembangan eksport (+4.8 peratus) serta import (+14.6 peratus).

"Sebaliknya, lebihan dagangan menyusut 46.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 untuk mencatatkan nilai RM102.8 bilion," tambahnya lagi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan