RIO DE JANEIRO, 19 Nov (Bernama-Xinhua) -- Pemimpin G20 bersetuju bahawa langkah-langkah yang diambil untuk memerangi perubahan iklim, termasuk yang bersifat unilateral, tidak seharusnya menjadi alasan untuk diskriminasi yang sewenang-wenangnya atau sekatan perdagangan antarabangsa yang tersirat, menurut Kenyataan Pemimpin G20 Rio de Janeiro yang dikeluarkan pada Selasa.
Para pemimpin menggesa anggota untuk bekerjasama dalam mempromosikan sistem ekonomi antarabangsa yang menyokong dan terbuka, bertujuan mencapai pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di semua negara, sekali gus membolehkan mereka menangani masalah perubahan iklim dengan lebih baik.
Mereka menekankan keperluan untuk meningkatkan pembiayaan iklim awam dan swasta serta pelaburan untuk negara membangun, selain mengetengahkan keperluan mendesak untuk meningkatkan secara drastik pembiayaan iklim daripada bilion kepada trilion daripada semua sumber.
Para pemimpin turut menyokong pelaksanaan usaha untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui secara global tiga kali ganda dan menggandakan kadar purata tahunan peningkatan kecekapan tenaga global melalui sasaran dan dasar sedia ada.
Mereka menegaskan semula komitmen terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal serta menekankan pentingnya pengurusan hutan yang mampan dan memerangi penebangan hutan.
Mereka juga berjanji untuk menamatkan pencemaran plastik dan mengelakkan dasar ekonomi hijau yang berdiskriminasi, selaras dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan perjanjian alam sekitar pelbagai hala, sambil mengiktiraf kepentingan menerapkan corak pengeluaran dan penggunaan yang mampan.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial