AM

Lelaki Bersyukur Akhirnya Diiktiraf Warganegara Malaysia Selepas 40 Tahun

19/11/2024 06:46 PM

BUKIT MERTAJAM, 19 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki di sini yang 40 tahun hidup sebagai individu tanpa kewarganegaraan menyatakan rasa syukur tidak terhingga setelah perjuangannya sejak sekian lama bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia kini berakhir.

Ini selepas permohonan Mohd Razwil Abdullah, 40, dibenarkan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Quay Chew Soon pada 14 Nov lepas yang memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan Sijil Kelahiran baharu dengan menyatakan pemohon sebagai warganegara Malaysia. 

Peguam Mohd Razwil, Habib Rahman Seeni Mohideen berkata anak guamnya ditemui oleh seorang wanita bernama Rohaida Abdul Rashid ketika masih bayi, dibalut dengan tuala putih dan masih bertali pusat pada tahun 1984, berdekatan dengan tong sampah di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

"Mohd Razwil kemudian diambil dan dijaga oleh wanita itu sehingga berumur empat tahun dan selepas itu dia diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga berumur 15 tahun," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Habib Rahman berkata penemuan maklumat baharu daripada Rohaida menjawab persoalan bagaimana Mohd Razwil ditemukan dan susulan itu, beliau mencuba lagi mendapatkan kewarganegaraan kepada anak guamnya selepas beberapa kali permohonannya ditolak sebelum ini kerana tiada maklumat berkenaan ibu bapa pemohon.

Sementara itu Mohd Razwil berkata beliau menghabiskan keseluruhan usia remajanya di beberapa rumah kebajikan dan tidak pernah mengenali ibu bapa atau ahli keluarga yang lain.

Beliau berkata status individu tanpa kerakyatan menyebabkan sukar baginya mendapatkan pekerjaan yang stabil, malah tidak melayakkannya untuk mendapat rawatan perubatan percuma dan sering pula dieksploitasi majikan dengan upah yang rendah.

"Saya menghadapi kesukaran untuk mengetahui sejarah kehidupan saya kerana tiada rekod dan saya terpaksa mendapatkan bantuan di media sosial bagi mengesan individu yang mengetahui sejarah kelahiran saya dan akhirnya menemui Puan Rohaida.

"Saya berharap dapat memulakan kehidupan baharu dan mendapat pekerjaan yang stabil. Saya berterima kasih kepada Puan Rohaida dan JKM kerana telah menjaga saya sewaktu kecil," katanya yang kini bekerja di sebuah kedai makan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan