AM

Sultan Nazrin Berkenan Terima Zakat Perniagaan RM13.7 Juta

19/11/2024 09:32 PM

IPOH, 19 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM13.7 juta daripada sepuluh syarikat korporat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Perak, Changkat Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh berkata penyerahan zakat berkenaan didahului Bank Islam Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya Azizan Abd Aziz dengan jumlah RM416,000.

Beliau berkata Ahli Jawatankuasa Syariah Bank Pembangunan Malaysia Berhad diwakili Prof Dr Salina Kassim pula menyerahkan zakat sebanyak RM580,310 manakala Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan menyerahkan zakat berjumlah RM1.02 juta.

"Bank Muamalat Malaysia Berhad diwakili Ketua Operasi Perbankan Muhamad Radzuan Ab Rahman turut menyerahkan zakat sebanyak RM479,802 serta Etiqa General Takaful Berhad & Etiqa Family Takaful Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Shahrul Azuan  Mohamed dengan jumlah RM1.4 juta.

"Seterusnya, Maybank Islamic Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muzaffar Hisham menyerahkan zakat sebanyak RM857,129 diikuti Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad Datuk Nik Airina Nik Jaffar dengan jumlah RM2 juta," katanya dalam satu kenyataan.

Syamsul Hazeman berkata Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nor Azman Zainal menyerahkan zakat berjumlah RM500,000 manakala Takaful Ikhlas General Berhad diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Rudy Rodzila Che Lamin pula sebanyak RM122,985.

Beliau berkata majlis penyerahan zakat diakhiri dengan Tenaga Nasional Berhad yang diwakili Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd Datuk Muhamad Nazri Pazil sebanyak RM6.3 juta.

Majlis turut disaksikan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral Tan Sri Dr Mohd Zahidi  Zainuddin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan