AM

Sabah Rancang Tubuh Pusat AI, Inisiatif Sokong Ekosistem Digital - Mohd Arifin

19/11/2024 11:54 PM

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Sabah merancang untuk menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan (AI) sebagai antara inisiatif menyokong ekosistem digital di negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah strategik menuju transformasi teknologi dan ekonomi digital.

“Ia bermatlamat untuk menarik pelaburan, mengembangkan bakat tempatan serta memacu inovasi dalam pelbagai sektor,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 (Belanjawan Sabah 2025) bagi kementeriannya di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata kerajaan negeri juga akan terus memantapkan penyampaian perkhidmatan melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar lebih produktif dan mesra rakyat, selain memanfaatkan teknologi IR4.0 dalam operasi pentadbiran.

Beliau berkata hal itu termasuk penggunaan AI untuk kerja-kerja berulang dan urusan pentadbiran harian supaya petugas perkhidmatan awam lebih produktif dan mampu melaksanakan tugasan lebih sukar serta berimpak tinggi.

Mohd Arifin berkata AI juga akan digunakan dalam teknologi rangkaian komputer, keselamatan siber dan sistem aplikasi, selain penggunaan maklumat biometrik dan tandatangan digital dalam urusan kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) akan terus memberi tumpuan kepada tiga teras utama merangkumi teknologi, keusahawanan berteraskan inovasi dan kreatif pada tahun depan.

“Fokus utama ialah bagi pembangunan modal insan, sambil memacu pertumbuhan syarikat pemula melibatkan perusahaan sosial dan teknologi,” katanya sambil menambah SCENIC berjaya menjadikan Sabah sebagai ekosistem perusahaan sosial kedua terbesar di Malaysia serta ekosistem syarikat pemula teknologi keenam terbesar di negara ini sejak ditubuhkan pada 2020.

SCENIC, katanya akan bergabung sekali lagi dengan Social Enterprise World Forum (SEWF) untuk menganjurkan SEWF Rural Gathering pada Oktober 2025 bagi mengumpulkan perusahaan sosial luar bandar di Kota Kinabalu untuk pertukaran ilmu dan membina rangkaian menyokong pembangunan ekonomi luar bandar.

“Melalui inisiatif Digital dan IoT Sandbox, SCENIC berusaha mempertingkat tahap kesiapsiagaan teknologi sehingga boleh dikomersialkan. Kerjasama dengan sekolah dan institusi pengajian tinggi juga akan diteruskan bagi memperkukuh ekosistem teknologi di Sabah.

“Sejak 2022, melalui inisiatif ini, SCENIC telah berjaya memudahkan pengumpulan dana sebanyak RM7.8 juta untuk syarikat pemula teknologi di Sabah,” katanya.

Mohd Arifin berkata kementeriannya turut merancang menambah dua lagi cawangan pusat sains di Sandakan dan Tawau menerusi tajaan Petronas bagi mengukuhkan kerjasama strategik kerajaan dan industri, selain usaha memperkasakan pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan