AM

MOSTI Cadang Penggunaan WBS Bagi Luaskan Capaian Jalur Lebar Seluruh Negara

20/11/2024 04:19 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Penggunaan Sistem Wireless Bridging (WBS) iaitu teknologi penyambungan internet menggunakan sumber sedia ada merupakan penyelesaian terbaik dalam merealisasikan aspirasi 100 peratus liputan jalur lebar mudah alih di seluruh negara menjelang akhir 2025.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaannya kerana berupaya menjadi penyelesaian sementara lebih cepat dan mudah dengan kos berpatutan dalam memperluas capaian internet kepada komuniti yang ketinggalan serta terbatas.

Beliau berkata cadangan menggunakan teknologi itu juga boleh menjadi pelengkap kepada inisiatif jangka masa panjang yang berbentuk kekal seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Selain penggunaan internet satelit, WBS juga boleh diadaptasi untuk memperluaskan sumber internet dari fasiliti sedia ada seperti di Pusat e-Desa, Pusat Internet Komuniti dan PEDi (Pusat Ekonomi Digital) lantas memperkasa fungsi fasiliti-fasiliti itu dalam memastikan kesalinghubungan digital masyarakat.

“Pemasangan sistem WBS juga cepat (kurang daripada satu bulan), menunjukkan potensi pelaksanaannya bagi perluasan capaian internet di kawasan lebih terpencil dalam usaha merapatkan jurang masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sesi Perluasan Capaian Internet Melalui WBS di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di sini hari ini.

Chang berkata potensi penggunaan WBS terbukti menerusi projek pembuktian konsep (PoC) pada 2022 oleh Akademi Sains Malaysia bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan TM One yang disokong MOSTI serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Kampung Pajam, Beranang, Selangor.

“Susulan PoC itu, sistem WBS telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Simbuan Tulid, Keningau, Sabah tahun lepas di bawah Inisiatif Segera Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat dan mula digunakan Sept lepas.

“Dengan kos sebanyak RM300,000 merangkumi langganan internet satelit berkelajuan tinggi selama tiga tahun dan pemasangan sistem WBS bagi perluasan capaian internet, ia kini telah memanfaatkan 158 pelajar, 15 guru serta 480 penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Chang berkata kementerian akan memperluaskan penggunaan konsep WBS di kawasan lain termasuk di luar Sabah dan Sarawak, bergantung kepada permintaan.

“Kita akan kaji kes demi kes sekiranya ada permintaan di mana-mana lokasi lain untuk menggunakan WBS ini kerana ia juga perlu dilihat dari segi kesesuaian sesuatu kawasan berkenaan serta kemudahan elektrik,” katanya.

Sementara itu dalam majlis sama, Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata beliau menghargai komitmen MOSTI bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) yang memfokuskan kepada kawasan memerlukan bagi inisiatif WBS. 

“Sudah pasti ini akan meningkatkan akses kepada teknologi dan maklumat yang sebelum ini mungkin sukar dicapai, malah membuka jalan kepada kemudahan pembelajaran secara dalam talian dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui perniagaan digital,” kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan