EKONOMI

Untung Bersih Petron Malaysia Pada Suku Ketiga Susut

21/11/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kentungan bersih Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd menyusut kepada RM4.63 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 daripada RM81.90 juta pada tahun sebelumnya dalam keadaan aliran penurunan harga minyak.

Menurutnya perolehan turut berkurangan kepada RM3.81 bilion daripada RM4.85 bilion sebelum ini berikutan jumlah jualan susut tujuh peratus, yang mencerminkan pembetulan dari segi permintaan bahan api domestik susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel runcit pada Jun 2024.

“Jualan eksport juga lebih rendah berikutan penyusutan pengeluaran kilang penapis. (Bagaimanapun) jumlah jualan komersial meningkat sembilan peratus didorong terutamanya daripada jualan bahan api jet dan gas petroleum cecair Gasul,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, bagi tempoh sembilan bulan sehingga 30 Sept 2024, syarikat itu merekodkan penyusutan keuntungan bersih yang ketara kepada RM87.59 juta daripada RM230.64 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perolehan syarikat meningkat kepada RM12.76 bilion daripada RM12.72 bilion dalam tempoh sama pada 2023.

Mengenai prospek, Petron Malaysia berkata di sebalik ketidaktentuan dan cabaran yang melanda pasaran, ia tetap komited untuk mendapatkan pertumbuhan mampan menerusi pelaburan dalam pengembangan rangkaian runcit dan mempertingkat kecekapan operasi melalui pengurusan sumber yang berkesan.

“Menerusi asas perniagaan yang kukuh dan pengurusan risiko berhemat, syarikat meneruskan tumpuan kepada inisiatif strategik untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan di samping bergiat aktif untuk mengurangkan jejak karbon,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan