EKONOMI

Allianz Malaysia Catat Pendapatan Lebih Rendah Sebanyak RM187.17 Juta Pada Suku Ketiga

22/11/2024 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Allianz Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM183.18 juta pada suku ketiga berakhir 30 September, 2024, turun 7.4 peratus daripada RM197.86 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, hasil meningkat 10.3 peratus kepada RM1.44 bilion daripada RM1.31 bilion sebelumnya berikutan hasil insurans lebih tinggi daripada kedua-dua segmen insurans am dan hayat.

Allianz Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata segmen insurans am mencatatkan hasil insurans sebanyak RM826.9 juta pada suku di bawah kajian, naik 17 peratus daripada RM706.9 juta setahun sebelumnya kebanyakannya disebabkan oleh premium perolehan kasar yang lebih tinggi daripada perniagaan permotoran.

Bagi segmen insurans hayat, ia mencatatkan hasil insurans sebanyak RM613.6 juta, meningkat 2.4 peratus berbanding RM599.1 juta dicatatkan pada suku sama tahun lepas.

"Peningkatan ini kebanyakannya disebabkan oleh hasil insurans lebih tinggi daripada perniagaan perlindungan berkaitan pelaburan dan faedah pekerja," katanya.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai segmen insurans am dan hayat masing-masing turun 1.1 peratus dan 10 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM540.02 juta daripada RM537.22 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan menokok kepada RM4.15 bilion daripada RM3.63 bilion.

Mengenai prospek, Allianz Malaysia berkata kumpulan itu akan terus menuju ke arah memacu gabungan produk menguntungkan dan mengekalkan disiplin yang ketat dalam bidang pengunderaitan dan pengurusan tuntutan.

“Selain itu, kumpulan itu akan terus berusaha untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecekapan operasi dengan melabur dalam keupayaan dan transformasi digital,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan