EKONOMI

Icon Offshore Peroleh Empat Perjanjian Penting Untuk Pacu Pertumbuhan Dan Perluasan Portfolio

22/11/2024 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Icon Offshore Bhd (Icon Offshore) telah menandatangani empat perjanjian jual beli saham (SSPA) bersyarat dengan pelbagai vendor untuk cadangan pengambilalihan.

Icon Offshore dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata perjanjian pertama melibatkan pembelian 100 saham biasa dalam Liannex Fleet Pte Ltd daripada Liannex Corp (S) Pte Ltd pada harga RM182 juta.

Pembelian itu akan diselesaikan sepenuhnya dengan menerbitkan 206.82 juta saham pertimbangan pada harga terbitan yang telah ditetapkan.

Selain itu, Icon Offshore akan memperoleh 5.32 juta saham biasa, mewakili 51 peratus kepentingan dalam Yinson Power Marine, anak syarikat Liannex Fleet dengan harga RM18 juta, ia akan diselesaikan menerusi 20.45 juta saham pertimbangan.

Di bawah SSPA kedua, Icon Offshore merancang untuk memperoleh 525,000 saham biasa, mewakili 70 peratus kepentingan, dan 25 juta saham keutamaan boleh tebus tidak boleh tukar dalam Regulus Offshore Sdn Bhd daripada Yinson Offshore Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yinson Holdings Bhd, sebanyak RM136 juta.

Pengambilalihan ini akan diselesaikan melalui terbitan 154.54 juta saham pertimbangan.

"Icon Offshore juga akan memperoleh satu saham biasa mewakili keseluruhan modal saham terbitan Yinson Camellia Sdn Bhd pada harga RM24 juta yang akan diselesaikan melalui 27.27 juta saham pertimbangan," katanya.

Bagi SSPA ketiga pula, Icon Offshore mencadangkan untuk memperoleh satu saham biasa dan 10.29 juta saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) dalam Yinson Port Ventures Pte Ltd (YPVPL), mewakili keseluruhan modal terbitan dan berbayar, daripada Yinson Capital Sdn Bhd pada harga RM27 juta.

Pembelian itu akan dijelaskan melalui terbitan 30.68 juta saham pertimbangan.

Icon Offshore akan memperoleh satu saham biasa dan 1.7 juta RCPS dalam Yinson Premier Ltd (YPL), mewakili 100 peratus daripada modal terbitan dan berbayar dengan harga RM7 juta, diselesaikan melalui 7.95 juta saham pertimbangan.

Di bawah SSPA keempat, Icon Offshore merancang untuk memperoleh 49,000 saham biasa, mewakili pegangan 49 peratus dan 3.01 juta saham keutamaan tidak boleh tukar boleh tebus (RPS) dalam Icon Bahtera (B) Sdn Bhd daripada Zell Transportation Sdn Bhd dengan nilai RM33.7 juta yang akan diselesaikan melalui 38.29 juta saham pertimbangan.

Icon Offshore akan memperoleh 450,000 saham biasa mewakili 15 peratus pegangan dalam Icon Waja daripada Zell Transportation pada harga RM9.8 juta yang diselesaikan melalui 11.14 juta saham pertimbangan.

Pengambilalihan dicadangkan melibatkan Icon Offshore membeli sejumlah saham ditetapkan dalam syarikat sasaran masing-masing dengan jumlah pembelian sebanyak RM429.1 juta.

Jumlah ini akan diselesaikan sepenuhnya melalui terbitan 487.61 juta saham pertimbangan pada harga terbitan ditetapkan.

“Selepas selesai pengambilalihan ini, Liannex Fleet, Yinson Power Marine, Yinson Camellia, YPVPL, YPL, Icon Bahtera dan Icon Waja akan menjadi anak syarikat milik penuh Icon Offshore manakala Regulus Offshore akan menjadi anak syarikat dimiliki sebanyak 70 peratus oleh syarikat,” kata Icon Offshore.

Icon Offshore berkata pengambilalihan Liannex Fleet, Yinson Power Marine, Regulus Offshore dan Yinson Camelia akan membolehkan kumpulan itu membesarkan OSV dan kapal marinnya melalui penambahan empat OSV, 17 bot tunda keluli, 17 tongkang keluli (termasuk satu yang baru dibina) dan dua pembawa pukal keluli.

“Armada diperbesarkan itu akan membolehkan kumpulan meningkatkan kapasiti operasi dan liputan perkhidmatannya serta mengembangkan pangkalan pelanggan sedia ada selain membolehkan kumpulan itu memberi perkhidmatan kepada wilayah geografi baharu dan meneroka pasaran berpotensi.

“Pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan mengembangkan penawaran perkhidmatannya termasuk perkhidmatan pengangkutan dan logistik untuk komoditi selain kargo pukal kering melalui Liannex Fleet serta Yinson Power Marine.

"Selain itu, mengembangkan penawaran operasi pelabuhan serta gudang melalui YPVPL dan YPL sekali gus meningkatkan aliran pendapatan kumpulan berkenaan,” katanya.

Menurut Icon Offshore, pengambilalihan Icon Bahtera dan Icon Waja akan membolehkan kumpulan menggabungkan sepenuhnya dan memperoleh kawalan penuh ke atas perniagaan serta pengurusan kedua-dua syarikat.

Mengenai prospek, ia berkata langkah ini dijangka meningkatkan penawaran perkhidmatan kumpulan, yang akan meningkatkan potensinya untuk perolehan yang lebih tinggi dan pertumbuhan jangka panjang.

"Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku pertama 2025," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan